AIDS membunuh sejuta nyawa pada 2016, hampir separuh berbanding kematian pada 2005 yang merupakan kemuncak wabak penyakit merbahaya itu, kata Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan hari ini.
Bukan sahaja jangkitan baru HIV dan kematian semakin berkurangan, tetapi lebih ramai orang mendapatkan rawatan yang menyelamatkan nyawa mereka, menurut data yang dikeluarkan sebelum sidang kemucak sains Aids dijadualkan berlangsung di Paris, Ahad ini.
“Pada 2016, 19.5 juta daripada 36.7 juta orang yang hidup dengan HIV mempunyai akses rawatan,” kata Unaids.
Ini menandakan kali pertama sejak penyakit itu dikesan, lebih separuh daripada mereka yang dijangkiti mendapatkan rawatan anti-retroviral, yang melemahkan virus HIV walaupun tidak membunuhnya.
“Kematian berkaitan Aids jatuh daripada 1.9 juta pada 2005 kepada sejuta orang pada 2016,” kata laporan itu,
Pada 2016 menyakisikan 1.8 juta jangkitan baru dilaporkan, hampir separuh berbanding jumlah 3.5 juta pada 1997.
Seramai 76.1 juta orang dijangkiti virus HIV yang menyebabkan Aids sejak wabak itu dikesan pertama kali pada 1980-an. Hampir 35 juta orang sudah terkorban.
Sehingga kini, tiada vaksin atau penyembuh HIV berjaya ditemui dan mereka yang dijangkiti perlu bergantung kepada terapi anti-retrorival sepanjang hayat bagi menghalang virus itu merebak.
Tanpa rawatan, mereka yang dijangkiti HIV akan menghidap Aids yang akan melemahkan sistem kekebalan badan daripada penyakit dan mendedahkan mereka kepada jangkitan penyakit seperti batuk kering dan beberapa jenis kanser.
Rawatan mempunyai kesan sampingan dan mahal, tetapi memboleh mereka yang dijangkiti hidup dengan sihat dalam jangka masa lebih lama.
Kemajuan banyak berlaku di barat dan selatan Afrika, rantau yang paling teruk dilanda wabak itu.
Sejak 2010, kematian berkaitan Aids di rantau itu jatuh kepada 42 peratus. Rantau itu mempunyai separuh daripada jumlah pesakit HIV dunia, dan hampir 60 peratus daripada mereka yang menghidap penyakit itu ialah wanita dan kanak-kanak perempuan.
Enam puluh peratus mereka yang menerima terapi anti retroviral hidup di barat dan selatan Afrika bersama-sama kawasan barat dan tengah Eropah dan Amerika dalam progres untuk mencapai sasaran 90-90-90 yang ditetapkan PBB, kata laporan itu.
Menjelang 2020, mengikut rancangan itu, 90 peratus yang dijangkiti perlu mengetahui status mereka, dan daripada jumlah itu 90 peratus perlu memulakan rawatan. Daripada jumlah itu, 90 peratus mereka, virus dalam badan berjaya “dilumpuhkan” dengan ubat sehingga ia gagal berfungsi atau merebak.
Pada 2016, 70 peratus mereka yang dijangkiti mengetahui status mereka, kata laporan itu lagi. Daripada jumlah itu, 77 peratus menerima rawatan dan 82 peratus berjaya melumpuhkan virus dalam badan mereka.
Unaids menyuarakan kebimbangan terhadap dua rantau yang wabak Aids semakin buruk: Timur Tengah-Afrika Utara, serta barat Eropah-tengah Asia. Kedua-duanya dilanda konflik dan ketidakstabilan politik.
Jangkitan baru HIV meningkat sehingga 60 peratus di barat Eropah dan tengah Asia dan kematian meningkat tiga kali ganda sejak 2010 hingga 2016.
Di Timur Tengah dan Afrika Utara, jumlah kematian disebabkan Aids meningkat lima kali ganda sejak enam tahun lepas.
“Hampir 30 peratus yang hidup dengan HIV tidak mengetahui status HIV mereka, 17.1 juta orang yang hidup dengan HIV tidak mempunyai akses kepada terapi anti retroviral dan lebih separuh mereka yang hidup dengan HIV tidak berjaya melumpuhkan virus itu.”
Daripada jumlah keseluruhan jangkitan, lebih dua juta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dan hanya 43 peratus mereka menerima rawatan.
Jangkitan baru kanak-kanak pada 2016 ialah 160,000 hampir separuh berbanding 300,000 pada 2010.
Ini kerana lebih ramai wanita mengandung yang mempunyai HIV- 76 peratus pada 2016- mempunyai akses kepada ubat yang menghalang jangkitan virus kepada anak dalam kandungan mereka. – AFP, 20 Julai, 2017.
Komen