Israel buka sebahagian laluan barang di Gaza


Kerem Shalom di Tebing Gaza akan dibuka sebahagiannya hari ini selepas ditutup pada 9 Julai lalu oleh Israel. – Gambar AFP, 24 Julai, 2018.

ISRAEL akan membuka semula sebahagian laluan khusus membawa barangan di Tebing Gaza hari ini yang sebelum ini ditutup sejak 9 Julai.

Kenyataan Pejabat Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman menyatakan laluan berkenaan ditutup susulan ketegangan di sempadan susulan daripada penggunaan layang-layang dan belon membawa bom api merentasi sempadan untuk membakar ladang milik Israel.

“Menteri pertahanan memutuskan Kerem Shalom akan dibuka semula sebahagiannya dan bermula jam 12 malam hari ini, pemindahan gas dan bahan api ke Tebing Gaza boleh dilakukan, selain makanan dan ubat-ubatan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan kejadian layang-layang dan belon membawa bom api memasuki wilayah Israel sudah berkurangan sekarang walaupun tidak dihentikan sama sekali.

Ia turut memberi jaminan laluan itu mungkin dibuka keseluruhannya dalam masa terdekat jika pelancaran belon api dan ketegangan di sempadan dapat dihentikan.

Rejim Israel mendakwa serangan itu mengakibatkan ratusan kebakaran dan kerugian ratusan ribu dolar sejak April lalu manakala penduduk Palestin di Gaza melihatnya sebagai pemberontakan sah terhadap sekatan lebih 10 tahun yang dikuat kuasa Israel. – AFP, 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen