7 pelajar perempuan di Kenya didakwa rosakkan kemudahan sekolah


Kerajaan Kenya menyeru pelajar di seluruh negara menghentikan perbuatan merosakkan kemudahan sekolah ketika kejadian kebakaran kian meningkat terutamanya di sekolah awam. – Gambar fail AFP, 24 Julai, 2018.

TUJUH pelajar Sekolah Tinggi Perempuan Kisimu di Nairobi didakwa di sebuah mahkamah di Kenya kerana merosakkan harta benda sekolah selain menimbulkan kekacauan.

Remaja berumur antara 15 hingga 18 tahun itu, dituduh merosakkan peralatan pemadam kebakaran, tingkap kaca selain memecahkan cermin depan kereta milik pengetua.

Bagaimanapun, kesemua mereka menafikan tuduhan itu dan dibenar dibebaskan dengan ikat jamin.

Susulan itu, Timbalan Presiden Kenya William Ruto baru-baru ini, menyeru pelajar di seluruh negara untuk menghentikan perbuatan merosakkan kemudahan sekolah dan melemahkan sistem pendidikan negara, ketika kejadian kebakaran yang kian meningkat terutamanya di sekolah-sekolah awam.

Sejak Mei, sekurang-kurangnya 47 sekolah di seluruh Kenya rosak akibat dibakar dan vandalisme yang dilakukan pelajar.

Siasatan awal mendapati masalah itu timbul, disebabkan langkah memperkenalkan peraturan peperiksaan lebih ketat bagi mengelakkan pelajar menipu.

Setiausaha Kabinet Pendidikan, Amina Mohammed mendedahkan 125 pelajar ditahan selepas polis meningkatkan usaha bagi mengesan dalang kejadian.

Kementerian Pendidikan menegaskan mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan di bawah kesalahan jenayah. – Bernama, 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen