SEKURANG-KURANGNYA lapan jemaah terbunuh dan lapan lagi cedera, selepas seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya dalam sebuah masjid di timur laut Nigeria, pada Isnin.
Menurut saksi kejadian, suspek lelaki itu dipercayai menyelinap masuk ke dalam sebuah masjid di Konduga, sebuah bandar terpencil berhampiran Maiduguri, ibu negara Borno State.
“Kejadian berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat dan tidak menyedari kehadiran penyerang. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dan kemudian melihat mayat bergelimpangan, tujuh daripadanya berada di bawah runtuhan,” kata Ali Kolo, ketua sebuah kumpulan tempatan.
Beliau berkata, tujuh mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang dalam perjalanan ke hospital.
Sementara itu, seorang lagi saksi Umar Goni berkata, ketika kejadian beliau sedang dalam perjalanan ke masjid dan turut membantu mangsa yang terperangkap.
Serangan dipercayai dilakukan lelaki berumur lingkungan 20 tahun. Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab namun penduduk menyalahkan pemberontak Boko Haram.
Insiden tersebut yang pertama dalam tempoh tiga bulan, selepas satu lagi insiden membunuh lima anggota keselamatan tempatan yang bertugas di sebuah kem untuk mangsa-mangsa pelarian Boko Haram di bandar itu. – Bernama, 24 Julai, 2018.
Komen