20 maut akibat kebakaran hutan di Athens


100 lagi cedera selepas kebakaran hutan merebak ke kawasan kampung sekitar Athens awal hari ini. – Gambar EPA, 24 Julai, 2018.

SEKURANG-kurangnya 20 orang mati manakala 100 cedera selepas kebakaran hutan merebak ke kawasan kampung sekitar Athens awal hari ini.

Jurucakap kerajaan, Dimitris Tzanakopoulos berkata majoriti mangsa ditemui di dalam rumah atau kereta di resort di tepi pantai Mati, yang terletak 40km daripada Athens.

Tambah beliau, sebelas orang cedera parah, dan 16 daripada yang cedera adalah kanak-kanak.

Sembilan kapal peronda pantai, dua kapal tentera dan puluhan bot swasta yang dibantu oleh helikopter milik tentera sudah digerakkan untuk membantu mereka yang terkandas di pelabuhan Rafina.

Mangsa dipindahkan ke hotel dan kem tentera.

Ketua bomba Athens, Achille Tzouvaras berkata lebih 300 anggota bomba, lima pesawat dan dua helikopter digerakkan untuk menangani “situasi sukar” itu. – AFP, 24 Julai, 2318.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen