LELAKI berusia 29 tahun yang melepaskan tembakan ke arah pengunjung restoran dan pejalan kaki di Jalan Toronto semalam, mengorbankan dua nyawa dan mencederakan 13 yang lain, mempunyai masalah kesihatan mental yang teruk, kata ahli keluarganya hari ini.
Polis mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai Faisal Hussain dari Toronto. Dia ditemui mati berhampiran tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan polis.
Ketua Polis Toronto Mark Saunders berkata seorang remaja berusia 18 tahun dan kanak-kanak berusia 10 tahun terbunuh dalam insiden tembakan dan 13 orang - berusia 10 hingga 59 tahun - cedera dengan beberapa orang daripadanya berada dalam keadaan serius.
Pihak berkuasa belum menentukan motif serangan yang berlaku di kejiranan Greektown di Toronto sekitar jam 10 malam Ahad.
Keluarga Hussain, dalam satu kenyataan kepada CBC News, mengutuk “tindakan dahsyat itu” dan berkata pelaku menderita masalah mental.
“Anak kami berdepan masalah kesihatan mental yang teruk, bergelut dengan psikosis dan kemurungan sepanjang hidupnya,” menurut kenyataan keluarga itu.
“Intervensi profesional tidak berjaya,” katanya. “Ubat dan terapi tidak dapat merawatnya.
“Walaupun kami sudah melakukan yang terbaik mendapatkan pertolongan untuk membantunya menangani penderitaan dan kesakitan, kami tidak pernah membayangkan pengakhiran yang dahsyat dan buruk baginya,” kata keluarga itu.
Rakaman video yang disiarkan oleh media Kanada menunjukkan Hussain, berpakaian hitam, berjalan kaki di kaki lima dan tiba-tiba mengeluarkan pistil dan menembak ke arah restoran. – AFP, 24 Julai, 2018.
Komen