Israel digesa bebas segera 400 tahanan remaja Palestin


Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Zeid Ra'ad Al Hussein mengkritik sistem 'pentadbiran penahanan' Israel yang kini menahan kira-kira 440 anak Palestin. – Gambar AFP, 24 Julai, 2018.

KETUA hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menuntut agar Israel sama ada memberi perbicaraan adil kepada lebih 400 remaja bawah umur Palestin yang ditahan atau membebaskan mereka, mengecam “pelanggaran” ke atas hak warga Palestin.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Zeid Ra’ad Al Hussein mengkritik sistem “pentadbiran penahanan” Israel yang kini menahan kira-kira 440 anak Palestin.

“Israel sepatutnya segera mendakwa atau melepaskan mereka semua,” kata Zeid yang berpangkalan di Geneva menerusi pautakan video, menyifatkan sistem Israel sebagai “pelanggaran hak asasi manusia.”

“Perlu ditegaskan yang menurut undang-undang antarabangsa, penahanan bagi kanak-kanak hanya digunakan sebagai jalan terakhir,” katanya.

“Dan sama ada kanak-kanak atau orang dewasa, penahanan tanpa perbicaraan, bukti yang sering dirahsiakan, selalunya di bawah arahan pentadbiran penahanan yang tidak diketahui tempohnya, suatu pelanggaran undang-undang antarabangsa dan mesti ditamatkan.”

Zeid juga mengkritik apa penahanan sewenang-wenang Israel dan penangkapan aktivis hak manusia.

Jalur Gaza, dikawal oleh gerakan Islam Hamas, berada di bawah sekatan Israel selama lebih 10 tahun.

Tetapi sejak akhir Mac, sekatan itu mencetuskan gerakan protes di sepanjang sempadan dengan Israel menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 149 rakyat Palestin dan seorang askar Israel. – AFP, 24 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen