PILIHAN raya kecil (PRK) di Selangor ibarat “rahmat” daripada Tuhan dan medan yang tepat bagi Barisan Nasional (BN) untuk menguji kemampuan jentera dan kempennya sebelum pilihan raya umum (PRU), kata pemimpin Umno.
“Anda tahu kenapa kita ada PRK?” soal Setiausaha Agung Umno Annuar Musa malam tadi.
“Sebelum habis Sg Kandis berkempen ada satu lagi di Balakong. Lepas ni Tuhan akan tentukan lagi banyak PRK. Tak tahu di mana, Langkawi ke mana. Jangan di Ketereh sudah atau pun Bera. Tetapi setiap PRK kita terima sebagai ketentuan Ilahi,” kata ahli Parlimen Keterh itu kepada lebih 1,000 ahli Umno Selangor yang hadir di pusat pilihan rayanya di Jalan Siswi Kanan.
Kerusi Parlimen Langkawi dipegang oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad manakala kerusi Bera dipegang oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri yang duduk di atas pentas bersebelahan Timbalan Presiden Mohamad Hassan dan calon Sungai Kandis, Lokman Noor Adam.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyatnya Mat Shuhaimie Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai kerana kanser sementara sehari sebelum pencalonan untuk Sungai Kandis, Adun Balakong Eddie Ng meninggal dunia akibat kemalangan kereta.
Mohamad juga meramalkan lebih banyak pilihan raya di hadapan.
“Saya rasa akan ada sekurang-kurangnya satu lagi di Selangor,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.
“Mari kita jadikan PRK ini sebagai medan latihan untuk kita sebelum PRU15,” katanya.
Beliau berkata BN seperti kertas bersih sekarang kerana ia tiada lagi dalam kerajaan.
“Terserah kepada mereka (Pakatan Harapan) untuk menyelesaikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Felda, kos hidup dan isu-isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Ini bukan masalah kita lagi. Kita sekarang bebas kerana kita berada di pihak yang lain.”
Beliau mempersendakan menteri pendidikan baru kerana memberi tumpuan kepada kasut dan bukannya dasar pendidikan.
“Mereka dulu begitu pandai mengkritik kerajaan. Tetapi sekarang mereka berada di pihak satu lagi, mereka mempunyai seorang menteri yang bukannya menggubal dasar dengan kepala, dia berfikir dengan kakinya,” merujuk kepada cadangan Maszlee Malik membenarkan pelajar sekolah menggunakan kasut hitam bukannya putih.
Annuar berkata Umno bermula pada 1946 sebagai parti tanpa pengaruh, wang atau kuasa. Dan memandangkan ia tidak lagi mempunyai kuasa sekarang, perjuangannya untuk bangsa, agama dan negara masih relevan.
“Tetapi ada orang-orang yang hanya mahu berkawan apabila kita berkuasa. Oleh itu, ini ujian bagi kita semua,” katanya penuh semangat.
Beliau berkata kemenangan di Sungai Kandis tidak sepenting bagaimana ia berjuang pada hari yang mendatang. – 24 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Will Be Humble · Ulasan