SERAMAI 44 suspek warga China dan Malaysia ditahan di Filipina berhubung kes penculikan dan memukul seorang wanita Singapura dari kasino di Manila, kata pihak berkuasa.
Polis menemui mangsa Wu Yan, 48, di sebuah kondominium di Manila pada Selasa, sehari selepas dia diculik oleh dua warga Malaysia yang juga ahli kumpulan terbabit, kata setiausaha kehakiman Erickson Balmes dalam satu kenyataan.
“Mangsa ditahan, dipukul dan diancam oleh penculiknya yang meminta wang tebusan AS$180,000 (RM771,570) bagi pembebasannya,” katanya.
Dua warga Malaysia bersama 42 rakyat China itu ditahan selepas mangsa berjaya diselamatkan dan akan didakwa atas kesalahan menculik, kata polis.
“Kumpulan itu juga dipercayai bertanggungjawab atas beberapa insiden culik membabitkan warga asing yang bermain di kasino sejak beberapa bulan lepas,” kata Balmes.
Jurucakap polis Filipina Abelardo Borromeo berkata anggota gang itu dipercayai turut terbabit dalam sindiket pinjaman wang haram beroperasi di kasino besar di kawasan Manila Bay.
Borromeo berkata mangsa sedang berjudi di salah sebuah kasino di mana dua suspek warga Malaysia kemudian berkenalan dan “berkawan” dengannya sebelum menjemputnya bermain di kasino lain di kawasan sama
Tetapi suspek kemudian membawanya ke sebuah kondominium dan meminta wang tebusan. – AFP, 20 Julai, 2017.
Komen