RATUSAN pelarian Syria meninggalkan Lubnan pada Isnin untuk kembali ke tanah air mereka, lapor wartawan AFP, berhubung perkembangan terbaharu kepulangan pelarian antara Beirut dan Damsyik.
Di bandar Arsal yang terletak di sempadan timur Lubnan, lelaki, wanita dan kanak-kanak dari pelbagai usia dilihat memenuhi kereta, van dan traktor.
Pasukan keselamatan memeriksa dokumen pengenalan diri mereka yang mahu meneruskan perjalanan pulang ke Syria yang turut membawa bagasi, kotak makanan, malah ternakan hidup, kata jurugambar AFP.
“Penghantaran pulang secara suka rela kira-kira 850 orang pelarian Syria bermula pada pagi Isnin, lapor agensi berita Lubnan, NNA.
Dalam tempoh tujuh tahun peperangan Syria, Lubnan menjadi tuan rumah kepada kira-kira 1.5 juta pelarian Syria, berbanding populasi tempatan 4.5 juta.
Sejak beberapa bulan lalu, lebih 800 pelarian Syria meninggalkan Lubnan menerusi operasi sama yang dijalankan oleh kerajaan Beirut dan Damsyik.
Beberapa ribu lagi turut meninggalkan negara itu secara sukarela sejak beberapa tahun lalu.
Agensi berita Syria, SANA melaporkan, kumpulan pertama ratusan warga Syria tiba dari wilayah Lubnan dan menuju ke Qalamun di luar ibu negara itu.
Sekutu Syria, Rusia turut memajukan rancangan kepada Amerika Syarikat untuk bekerjasama bagi memastikan keselamatan pelarian untuk pulang ke Syria.
Moscow mencadangkan penubuhan kumpulan kerja di Lubnan dan Jordan, di mana ramai pelarian sudah meninggalkan negara itu, kata pihak kementerian pertahanan Rusia.
Penasihat Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri telah menemui timbalan menteri pertahanan Rusia Mikhail Bogdanov untuk mencari lebih banyak inisiatif, kata pejabat perdana menteri itu.
Langkah itu akan “membantu menyelesaikan” krisis pelarian di Lubnan dan menamatkan penderitaan mereka serta kesan ekonomi terhadap negara tuan rumah, terutamanya Lubnan, katanya.
Bulan lalu, Hizbullah Lubnan berkata satu gerakan yang kuat menubuhkan mekanisme untuk membantu pelarian Syria kembali ke tanah air mereka, dengan kerjasama pihak berkuasa Lubnan dan Damsyik.
Lebih 350,000 orang terbunuh manakala separuh daripada populasi di negara itu terpisah sejak tercetus peperangan di Syria yang berpunca daripada protes anti kerajaan pada 2011. – AFP, 23 Julai, 2018.
Komen