KUMPULAN militan Shabaab menyerang pangkalan tentera di selatan Somalia pada Isnin, menyebabkan beberapa orang terbunuh, kata pegawai tentera dan saksi.
Sumber tentera berkata, kenderaan berisi bahan letupan merempuh sasaran pangkalan tentera Bar-sanguni yang terletak kira-kira 40 kilometer dari utara wilayah Kismayo.
Penyerang bertindak merempuh pondok kawalan sebelum lelaki bersenjata menyerang pangkalan itu, menyebabkan berlaku tembak menembak dengan tentera selama beberapa jam.
“Pengganas Al-Shabaab menyerang pangkalan tentera Bar-sanguni awal hari ini dan berlaku tembak menembak. Pasukan tentera Somalia berjaya menumpaskan penyerang namun berlaku kehilangan nyawa di kedua-dua pihak dalam serangan itu,” kata komander tentera, Mohamed Bile.
“Kita masih belum mendapat maklumat berhubung angka sebenar kematian namun ia mungkin melebihi sepuluh nyawa,” tambahnya.
Beberapa saksi dari kampung berdekatan berkata berlaku letupan besar sebelum insiden tembak menembak.
Shabaab yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dalam satu kenyataan mendakwa mereka telah membunuh 27 anggota tentera dalam serangan di pangkalan itu yang disifatkan mereka “dibina oleh Amerika untuk tentera murtad.”
Shabaab berjuang untuk menumbangkan kerajaan yang disokong pihak antarabangsa di Mogadishu sejak berdekad lalu.
Walaupun kehilangan bandar dan kawasan yang ditawan sejak beberapa tahun lalu, kumpulan terbabit terus menjalankan serangan senjata api dan bom terhadap kerajaan, pasukan keselamatan dan orang awam di ibu negara itu dan di kawasan lain. – AFP, 23 Julai, 2018.
Komen