SUHU di Kumagaya, sebuah bandar di wilayah Saitama berhampiran Tokyo, mencatatkan rekod tertinggi iaitu 41.1 darjah Celsius pada pukul 2 petang waktu tempatan, Isnin, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), lapor Xinhua.
Ia merupakan suhu tertinggi pernah dilaporkan di seluruh Jepun, kata agensi itu dan memberi amaran kemungkinan berlakunya penyakit berkaitan haba seperti strok haba dan dehidrasi.
Suhu di bandar Ome, Tokyo mencecah 40.8 darjah Celcius sekitar pukul 2 petang waktu tempatan, pertama kali melebihi 40 darjah.
Satu gelombang panas yang melanda beberapa kawasan di Jepun sejak beberapa minggu kebelakangan, menyebabkan kematian lebih 40 orang manakala puluhan ribu lagi dimasukkan ke hospital, menurut media tempatan.
Menurut Kyodo News, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh pada Sabtu dipercayai akibat strok haba dan ramai terpaksa dihantar ke hospital di Tokyo untuk menerima rawatan. – Bernama, 23 Julai, 2018.
Komen