Menteri beri amaran jangan politikkan Mara


Low Han Shaun

Sebab-sebab penubuhan Mara amat jelas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Redzuan Md Yusof, mengulas laporan bahawa Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa didakwa mencadangkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dibuka kepada semua kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Julai, 2018.

MARA (Majlis Amanah Rakyat) tidak patut dipolitikkan kerana sebab-sebab penubuhannya amat jelas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mohd Redzuan Md Yusof.

Redzuan mengulas laporan bahawa Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa didakwa mencadangkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dibuka kepada semua kaum.

“Jika Sivarasa mahu mengulas mengenainya, beliau perlu faham (Mara dan mengapa ia ditubuhkan),” katanya di ibu pejabat Mara di Kuala Lumpur hari ini.

Sivarasa menafikan membuat kenyataan tersebut.

Redzuan menjelaskan Mara ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat 1966 bagi membantu golongan yang memerlukan, terutamanya kumpulan B40.

“Hala tuju Mara ini jelas. Cuma, jika tidak diurus dengan betul, jadi kita kena betulkan berdasarkan akta Parlimen,” beliau berkata demikian selepas diberi taklimat selama dua jam oleh pegawai tertinggi Mara.

Tambah Redzuan, rakyat perlu faham “agenda” Mara dalam pembaharuan institusi itu.

“Ini Malaysia baru, semua orang perlu faham agenda ini supaya ia lebih mesra.

“Tetapi tak boleh nak kata dalam kumpulan B40 ini selalunya Melayu.

“Sebab itulah kita mesti laksanakan akta Parlimen,” katanya.

Sivarasa dilaporkan telah menafikan membuat sebarang cadangan supaya MRSM dibuka kepada semua kaum, atau menggesa nama maktab itu diubah.

“Itu tak benardan satu fitnah, tolong jangan ulangi. Tak pernah bincang mengenai perubahan nama.

“Cadangan (buka kepada semua kaum) tak betul, tak pernah dibuat,” beliau dilaporkan berkata demikian. – 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen