Jangan cuba mulakan 'perang ekonomi', Iran beri amaran pada AS


Amerika Syarikat perlu tahu berdamai dengan Iran adalah ibu kepada semua keamanan, manakala peperangan dengan Iran pula ibu kepada semua peperangan, kata Presiden Hassan Rouhani. – Gambar EPA, 23 Julai, 2018.

PRESIDEN Iran Hassan Rouhani memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS), supaya tidak memulakan perang ekonomi dengan negara republik Islam itu, lapor agensi berita Xinhua, memetik Press TV.

“AS perlu tahu berdamai dengan Iran adalah ibu kepada semua keamanan, manakala peperangan dengan Iran pula ibu kepada semua peperangan,” katanya pada Ahad.

Selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear pada 8 Mei, Presiden AS Donald Trump berikrar untuk menguatkuasakan semula sekatan ke atas Iran, di samping mengenakan tindakan kepada negara-negara yang mempunyai hubungan perdagangan dengan negara Islam itu.

Rumah Putih berikar untuk menjatuhkan jualan minyak Iran kepada “sifar”, yang  disifatkan Iran sebagai satu usaha mencetuskan perang ekonomi.

“Ancaman sedemikian memberi kesan buruk tetapi akan menyatukan lagi rakyat Iran. Pastinya ia akan menjejaskan negara tetapi manfaatnya akan lebih besar.”

Hassan Rouhani mengancam jika Iran tidak dapat menjual minyaknya, mustahil juga bagi negara-negara lain di rantau itu untuk menjual minyak mereka.

“Jangan cuba bermain dengan api, nanti akan menyesal,” katanya.

Beliau berkata, pengunduran diri AS dari JCPOA telah mengasingkan negara itu dari negara-negara lain.

“Menerusi JCPOA, AS akan bertempur dengan seluruh dunia. AS tidak akan diberi peluang untuk berpatah balik.”

JCPOA, yang ditandatangani pada Julai 2015, menyekat aktiviti nuklear Iran sebagai pertukaran untuk mengurangkan sekatan ekonomi. 

Trump juga menggesa  Agensi Tenaga Atom Antarabangsa untuk meningkatkan  langkah pemeriksaan ke atas kawasan tentera Iran, bagaimanapun ditolak Tehran. – Bernama, 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen