Vietnam bakal anjur Forum Pelancongan Asean 2019


Bertemakan 'Asean - the Power of One', yang kali kedua dianjurkan di Vietnam, forum itu dijangka membantu mempromosikan landskap, identiti budaya, tradisi dan sejarah negara itu kepada rakan-rakan antarabangsa. – Gambar EPA, 23 Julai, 2018.

FORUM Pelancongan Asean (ATF) 2019 akan berlangsung di Bandar Ha Long di wilayah utara pantai Quang Ninh, Vietnam, dari 14 hingga 18 Januari tahun depan, lapor agensi berita Vietnam (VNA) .

Bertemakan “Asean - the Power of One”, yang kali kedua dianjurkan di Vietnam, forum itu dijangka membantu mempromosikan landskap, identiti budaya, tradisi dan sejarah negara itu kepada rakan-rakan antarabangsa.

Pentadbiran Pelancongan Nasional Vietnam berkata, acara itu bertujuan meningkatkan kerjasama antara negara Asean, ke arah “1 Visi, 1 Identiti, 1 Komuniti”, dengan bermatlamatkan memacu kemakmuran dan pembangunan mampan.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan Asean, Pegawai-Pegawai Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Asean dan pasaran pelancongan (TRAVEX).

Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan Asean akan menumpukan kepada langkah-langkah meningkatkan daya saing, menyeragamkan dan membangunkan sumber manusia selain mempromosikan pelancongan mampan.

TRAVEX pula, dijangka memberi peluang kepada firma pelancongan tempatan dan rakan kongsi meningkatkan hubungan serta mempromosikan produk.

Turut dijadual ialah pelancaran buku “Tourism Stories” dan majlis Anugerah Pelancongan Asean.

ATF dilancarkan buat pertama kali pada 1981 di Kuala Lumpur, Malaysia, ia merupakan acara tahunan kerjasama pelancongan Asean terbesar, bertujuan mempromosikan Asean sebagai satu destinasi pelancongan dengan pembangunan mampan.

Ia melibatkan semua sektor industri pelancongan dari 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Vietnam menyertai ATF sejak 1998. – Bernama, 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen