IRAN menyeru Kesatuan Eropah (EU) mengambil langkah praktikal untuk menyelamatkan Perjanjian Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) 2015, lapor agensi berita Xinhua.
Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkata demikian kepada agensi berita Tasnim pada Ahad, selepas rundingan antara Iran bersama negara-negara Eropah yang terlibat dalam perjanjian nuklear bersejarah itu.
“Kami tidak melihat adanya langkah-langkah praktikal yang cukup oleh kuasa barat dan pihak terlibat dengan JCPOA sejak Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 8 Mei lepas.
“Iran akan terus mengadakan rundingan dengan Eropah, tetapi tidak akan menunggu terlalu lama,” katanya, merujuk kepada resolusi Eropah yang mencadangkan satu pakej langkah ekonomi bagi mengimbangi pengunduran AS.
Pada Jumaat, satu mesyuarat menteri mengenai perjanjian nuklear diadakan di Vienna.
Mesyuarat yang dipengerusikan Federica Mogherini, wakil tinggi EU untuk hal ehwal luar negeri dan dasar keselamatan itu, dihadiri menteri dari China, Perancis, Jerman, Rusia, Britain dan Iran.
JCPOA, yang ditandatangani pada Julai 2015, menyekat aktiviti nuklear Iran sebagai pertukaran untuk mengurangkan sekatan ekonomi.
Presiden AS Donald Trump juga menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa untuk memningkatkan langkah pemeriksaan ke atas kawasan tentera Iran, bagaimanapun ia ditolak Tehran. – Bernama, 23 Julai, 2018.
Komen