Sabah bakal ada stesen radio Kristian pertama jika diluluskan mahkamah


Jason Santos

Ronnie Vun Yun Heu mahkamah memberinya kebenaran berdasarkan fakta kebebasan beragama dibenarkan dalam Perlembagaan Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.

TIDAK bimbang dengan halangan yang dihadapi terhadap rancangannya menubuhkan stesen radio Kristian di Sabah, Ronnie Vun Yun Heu, 55, berharap pendengaran di mahkamah pada minggu depan akan memberinya kebenaran untuk meneruskan usaha yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Pada masa ini, kami mempunyai stesen radio Islam yang mempromosikan pengajaran, azan solat dan bimbingan perkara kerohanian kepada umat Islam.

“Saya percaya penting untuk mendidik iman dan amalan yang baik di kalangan umat Islam.

“Di sisi yang sama, penganut Kristian di Sabah terdiri daripada 25% penduduk yang boleh mendapat manfaat daripada radio ini,” kata Vun kepada The Malaysian Insight mengenai rancangannya.

Anak jati Kota Belud itu berkata permohonan mahkamahnya berdasarkan fakta yang kebebasan beragama dibenarkan dalam Perlembagaan Malaysia, dengan Perkara 11 memberi setiap orang hak menganut dan mengamalkan agamanya serta menyebarkannya.

“Kedua, Artikel 3 menyatakan Islam adalah agama negara tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni,” katanya.

Impiannya menubuhkan stesen radio Kristian bermula pada 2014, tetapi berdepan halangan sejak tiga tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, beliau mengakui bertemu para menteri, termasuk dua pengarah daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Apabila saya berjumpa dengan pegawai SKMM, ada yang memberitahu tidak ada permohonan seperti itu sebelum ini, tetapi memberitahu saya agar mencuba walaupun memberi amaran yang Malaysia adalah negara Islam,” katanya.

Vun berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak menolak rancangannya walaupun tanpa mengetahui lebih terperinci mengenai cadangan itu.

“Saya juga cuba mendapatkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Madius Tangau untuk memujuk Salleh mengenai rancangan saya, tetapi perkara itu sudah lama, dan saya menganggap rancangan saya terkubur di situ.”

Pendengaran mahkamah Vun ditetapkan pada 28 Julai, di mana beliau berharap memperoleh keizinan menjalankan kerja di stesen, bermula dengan pembiayaan.

“Ia melibatkan menara transmisi bernilai jutaan ringgit, penubuhkan pejabat di sini di Kota Kinabalu, serta logistik bagi sistem analog yang akan dihantar ke Sabah, serta bayaran lesen bagi frekuensi radio yang ditetapkan.”

Beliau berkata jurutera yang mengendalikan stesen radio Kristian Amerika 105.7 FM KHCB sanggup membekalkannya dengan sistem analog radio.

Pembiayaan awal dijangka datang daripada penganut Kristian dari dalam negeri dan seluruh dunia.

“Saya melihat transmisi di Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum mengembangkannya ke bahagian lain di Malaysia Timur, termasuk kawasan luar bandar, dengan format berbilang bahasa, sama seperti Kupi-Kupi FM Sabah, tetapi dengan rujukan daripada tulisan dan ajaran kitab Bible,” kata Vun.

Beliau menambah stesen itu tidak mempunyai iklan dan akan menyatukan gereja pelbagai denominasi. – 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • UPDATE SEKALIAN: Difail dlm Mahkamah pada 23hb Julai ditunda ke 28hb, lagi ke 8hb Ogos, lagi ke 21hb. Kini ditunda ke 7hb September dengan YB Menteri MCMC Salleh disaman datang bersama Pengarah2 nya. Ni Kali lah Saudara-saudari. Sila berdoa tidak putus2 (1 Tesalonika 5:17 Pray without ceasing)

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh RONNIE VUN · Ulasan