14 maut, pengebom bunuh diri serang lapangan terbang Kabul


Anggota keselamatan Afghanistan berdiri berhampiran mayat mangsa serangan pengebom bunuh diri di lapangan terbang Kabul, semalam. – Gambar AFP, 23 Julai, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 14 maut, manakala 60 lagi cedera dalam insiden pengebom bunuh diri di pintu masuk lapangan terbang antarabangsa Kabul, semalam.

Orang ramai sedang berkumpul untuk menyambut ketibaan Naib Presiden Afghanistan Abdul Rashid Dostum yang pulang daripada buangan, ketika kejadian itu.

Insiden berlaku ketika pegawai kanan, pemimpin politik dan penyokong Abdul Rashid sedang meninggalkan lapangan terbang.

“Ini kali pertama saya menyaksikan sendiri insiden pengebom bunuh diri.

“Orang ramai mengumpul cebisan daging manusia yang berkecai guna tangan,” kata saksi.

Sementara itu, jurucakap Abdul Rashid, Bashir Ahmad Tayanj berkata naib presiden itu yang menaiki kenderaan berperisai tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap polis, Hashmat Stanikzai berkata sembilan anggota pasukan keselamatan dan polis trafik antara yang terkorban.

Kumpulan pemantau risikan SITE yang memetik agensi berita rasmi militan Daesh, Amaq melaporkan mereka mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Najib Danish berkata antara yang terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak dan anggota pasukan keselamatan. – AFP, 23 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen