DALAM program Soal Jawab di TV3 malam tadi, Pengerusi Felda Shahrir Samad membuat kenyataan berkaitan isu lambakan hutang peneroka Felda kononnya tidaklah seburuk seperti yang diwar-warkan ramai pihak.
Hanya dalam lebih kurang 1,000 daripada 112,000 peneroka Felda yang hutang mereka melebihi RM100,000.
Ini berbeza dengan kenyataan Razali Ibrahim, timbalan menteri yang menjaga ha ehwal Felda bila tidak lama dulu berkata hutang keseluruhan peneroka Felda mencecah RM5 bilion.
Malah di Pahang saja, hutang peneroka mencecah RM900 juta mengikut apa dinyatakan exco negeri, Abu Bakar Harun yang menjaga hal ehwal Felda di Pahang.
Kami anak peneroka lebih memahami apa yang berlaku terhadap emak ayah kami. Kemarahan mereka bukan tiada asasnya.
Isu ketiadaan penyata hutang lebih 10 tahun dan apabila didesak oleh SGK2F mulai April 2015 barulah penyata dikeluarkan mulai Jun, 2016. Tetapi amat malang bila butir penyata amat meragukan.
Pengurusan ladang tidak cekap dengan ladang semak dengan hasil ladang yang amat mengecewakan menyebabkan pembayaran kembali hutang peneroka terjejas.
Itu belum lagi isu kutipan faedah hutang yang dikutip dengan kadar 6.25% bercanggahan dengan apa yang tercatat dalam perjanjian iaitu 4%.
Itu sebenarnya perkara asas yang menjadi kemarahan peneroka dan anak mereka. Bila kami bersuara tak sepatutnya kami dituduh suara pembangkang. Kami sekadar inginkan pembaharuan dalam urus tadbir ladang.
Buang dan rehatkan pihak yang gagal menunaikan amanah di Felda dan FTP. Terlalu banyak kepincangan yang berlaku dalam urus tadbir ladang. Ini yang patut diperbetulkan dulu.
Kami tidak berminat membincangkan isu pembelian hotel atau pelaburan sana sini. Kami bercakap soal asas permasalahan peneroka iaitu isu urus tadbir ladang tidak cekap dan lambakan hutang. Tak perlu beri pelbagai alasan. Hadapi dan selesaikan isu asas ini dengan sebaiknya.
Kami mengakui sejak pengerusi Felda baharu mengambil alih jawatan serta kemasukan Zulkifli Wahab pengerusi FTP, dilihat sudah mula ada perubahan dalam urus tadbir ladang.
Suara anak peneroka diberi perhatian. Sudah ada komunikasi dua hala antara pengurusan Felda dan FTP bersama peneroka dan anak peneroka. Kami sangat menghargainya.
Terbukti apa yang kami suarakan adalah benar. Banyak pihak di Felda dan FTP sebelum ini menuduh kami bawa isu tidak tepat. Bila kami tunjukkan bukti barulah semua mula bertindak.
Kami bukan mengada-adakan isu. Seranta Felda sendiri sebuah agensi yang ditubuhkan kerajaan untuk mengutip dan memantau permasalahan peneroka di Felda juga pernah menuduh kami bawa isu tidak tepat, tapi bila kami tunjukkan bukti barulah mereka terdiam.
Kami bersuara demi kebaikan emak ayah kami serta demi memastikan Felda dan FTP terus maju. Janganlah mengambil jalan mudah menuduh kami membawa suara pembangkang. Kami sayangkan Felda. Sebab sayangkan Feldalah kami bersuara. – 20 Julai, 2017.
* Zulkefli Nordin ialah presiden Suara Generasi Kedua Felda.
* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen