Indonesia haramkan kumpulan Hizbut Tahrir


Kumpulan Hizbut Tahrir mengadakan tunjuk perasaan yang menyaksikan Gabenor Jakarta beragama Kristian, Ahok dipenjara dua tahun kerana menghina Islam. – Gambar AFP, 20 Julai, 2017.

INDONESIA mengharamkan kumpulan Islamik tempatan Hizbut Tahrir, menolak kritikan kumpulan berhaluan kanan yang langkah pengharaman itu tidak demokratik.

Kerajaan itu berkata ia menarik balik lesen Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) kerana kumpulan itu menjalankan aktiviti bertentangan dengan ideologi republik berkenaan.

Status kumpulan itu, yang berkempen supaya Indonesia melaksanakan undang-undang Islam dan sistem khalifah, dibatalkan semalam bagi menjamin perpaduan nasional, kata Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman dan Hak Asasi Kemanusiaan, Freddy Hari.

Kumpulan itu mengutuk pengharaman berkenaan sambil berkata mereka tidak akan berdiam diri dan akan mencabar keputusan itu di mahkamah.

Pengharaman itu diumumkan seminggu selepas Presiden Joko Widodo menandatangani perintah presiden yang memberi kebenaran dan kuasa penuh kepada pihak berkuasa untuk mengharamkan kumpulan terbabit.

Pertubuhan itu mendakwa pemerintah, ahli Parlimen dan ulama Islam adalah kafir yang harus diperangi kerana menerima sistem kufur, bahkan negara Islam juga semuanya kafir kerana berhukum dengan sistem itu selain haram menyertai sistem kerajaan sekarang.

Pakar undang-undang Indonesia Refly Harun ketika mengulas pengharaman itu berkata ini kali pertama dalam sejarah kerajaan reformasi, sebuah pertubuhan diharamkan di Indonesia tanpa mengikut proses undang-undang.

“Perintah presiden itu ibarat cek kosong kepada kerajaan untuk mengharamkan mana-mana kumpulan tanpa melalui proses undang-undang,” katanya.

Perintah itu juga dikeluarkan selepas berlaku ketegangan dan protes, khususnya yang dianjurkan Hizbur Tahrir, yang menyaksikan Gabenor Jakarta beragama Kristian, Ahok dipenjara dua tahun kerana menghina Islam. – AFP, 20 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen