MESUT Ozil, pemain bola sepak terkenal Jerman mengumumkan beliau tidak lagi akan bermain untuk pasukan negara itu kerana “perkauman dan tidak dihormati” dalam siri twitnya pada Ahad.
“Dengan rasa berat hati dan selepas membuat pertimbangan sewajarnya kerana kejadian baru-baru ini, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman pada peringkat antarabangsa kerana saya merasakan (wujud sikap) perkauman dan tidak dihormati,” kata Ozil.
Beliau mendakwa menjadi sasaran media Jerman yang menggunakan keturunannya-Turki- untuk menyalahkannya kerana Jerman gagal mara lebih jauh dalam Piala Dunia 2018.
Ozil menulis: “Mereka tidak mengkritik prestasi saya. Mereka tidak mengkritik prestasi pasukan. Mereka hanya mengkritik keturunan Turki saya dan cara saya dibesarkan.”
Pertemuannya dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Mei turut dibangkitkan dan Ozil kecewa dengan layanan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) susulan kontroversi itu.
“Layanan yang saya terima daripada DFB dan banyak pihak lain menyebabkan saya tidak lagi mahu memakai jersi kebangsaan Jerman,” tulisnya.
Ozil bermain sebanyak 92 kali untuk Jerman sejak 2009. Beliau adalah antara pemain utama dalam pasukan negara itu yang menang Piala Dunia 2014.
Beliau juga adalah pemain profesional untuk pasukan utama Liga Perdana Inggeris, Arsenal.
“Ini bukanlah sebab saya bermain bola sepak, dan saya tidak akan bertenang dan tak buat apa-apa mengenainya. Perkauman tidak boleh, sama sekali tidak boleh, diterima,” tambahnya lagi.
“Saya orang Jerman bila kita menang, tetapi hanya pendatang bila kita kalah.” – 23 Julai, 2018.
III / III pic.twitter.com/c8aTzYOhWU
— Mesut Özil (@MesutOzil1088) July 22, 2018
Komen