AHLI G20 berikrar semalam untuk meningkatkan dialog bagi meredakan ketegangan perdagangan yang boleh menjejaskan perkembangan ekonomi dunia.
Menteri kewangan dan jurubank pusat dari 20 buah negara ekonomi utama dunia menutup mesyuarat dua hari di Bernos Aires dengan amaran yang “ketegangan perdagangan dan geopolitik” mengancam perkembangan ekonomi dunia.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan dasar perlindungan perdagagan Presiden AS Donald Trump menimbulkan rasa tidak puas hati sekutunya sendiri seperti Kesatuan Eropah, Kanada dan Mexico yang mencetuskan siri serangan tindak balas.
Mesej akhir G20 menekankan akan “keperluan mengadakan dialog dan tindakan untuk mengekang risiko dan meningkatkan keyakinan” dalam kebimbangan akan berlakunya perang perdagangan global.
Walaupun kenyataan itu tidak menyebut AS secara langsung, yang merupakan tumpuan kemelut perdagangan dengan ahli G20, China, EU dan lain-lain, ia menggambarkan kebimbangan lebih besar berbanding kenyataan pada Mac yang dikeluarkan kumpulan itu.
Menteri Ekonomi Argentina Nicolas Dujovne memberi isyarat yang G20 tidak berupaya menahan tekanan kemelut perdagangan, katanya ia perlu diselesaikan secara langsung antara kerajaan atau menerusi Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).
Ketika Krisis Kewangan Global 2008, G20 berperanan penting dalam menghalang kesan lebih buruk dan menyelamatkan berjuta pekerjaan, katanya, menegaskan yang “dalam masa sukar anda boleh lihat betapa pentingnya ia”.
Tetapi Setiausaha Perdagangan AS Steven Mnuchin membalas kenyataan itu, berkata AS hanya mahukan “perdagangan lebih seimbang” dengan negara lain.
Mnuchin juga menolak kesan ekonomi hasil daripada peningkatan tarif dan duti, berkata setakat ini ia hanya memberi kesan “mikro” kepada AS. Tetapi daripada “kedudukan mikro kami masih tidak nampak mana-mana kesan signifikan ke atas ekonomi”.
Perniagaan Amerika menerima kesan akibat beberapa siri tindakan perdagagan dilakukan China, EU, Kanada dan Mexico termasuklah tarif terhadap kacang soya, motosikal, arak dan barangan lain, pengeluar juga mengadu tentang kenaikan harga pembekal utama mereka yang kini tertakluk kepada duti baharu AS. – AFP, 23 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Alisya sofea · Ulasan