MAHKAMAH Kenya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada tiga lelaki kerana membogelkan dan melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita yang mereka percaya berpakaian menjolok mata.
Keputusan itu ialah susulan kejadian yang menyebabkan ratusan orang berarak di bandar Nairobi memakai seluar pendek dan pakaian ketat pada 2014, mendesak kerajaan bertindak menghentikan keganasan terhadap wanita selepas video serangan tersebar.
“Kita adalah setaraf, tetapi sangat penting untuk menghormati maruah wanita,” kata Ketua Majistret Francis Andayi ketika mengeluarkan penghakiman itu.
“Ini (tidak hormati wanita) yang banyak dilakukan lelaki yang tidak bertamadun di luar sana,” tambahnya.
Serangan yang berlaku di stesyen minyak di pinggir bandar Nairobi apabila mangsa dibogelkan, diserang secara seksual dan dirompak telefon bimbit dan wang tunainya. Kejadian itu dirakam dan tular di media sosial,
Ia adalah satu daripada siri serangan ganas ke atas wanita yang banyak berlaku di negara itu sehingga menyebabkan aktivis menggerakkan demonstrasi awam menggunakan slogan #MyDressMyChoice di media sosial.
Ketiga-tiga lelaki itu, Edward Gitau, Nicholas Mwangi dan Meshak Mwangi pada awalnya diberikan hukuman mati. Bagaimanapun, Kenya mengharamkan pelaksanaan hukuman itu yang bermakna mereka akan menghabiskan sepanjang hayat mereka dalam penjara. – AFP, 19 Julai, 2017.
Komen