ISRAEL akan membuka kembali satu-satunya laluan barangan dengan Tebing Gaza yang disekat pada Selasa depan jika keamanan dapat dikekalkan, kata Kementerian Pertahanan selepas menutupnya pada 9 Julai lalu susulan kewujudan layang-layang membawa bebola api.
“Jika situasi hari ini dan esok seperti semalam, pada Selasa kami akan membenarkan Kerem Shalom untuk kembali ke aktiviti biasanya dan zon perikanan akan kembali kepada jarak sebelum ini,” kata Avidgor Lieberman kepada wartawan pada Ahad merujuk kepada nama lintasan itu.
Bagaimanapun, Lieberman menegaskan yang keamanan itu juga bermaksud menamatkan “serangan” layang-layang dan belon yang membawa bebola api melintasi pagar sempadan kawasan Palestin yang ditadbir Hamas dan ladang di kawasan Israel.
Pihak berkuasa Israel mendakwa beratus kebakaran disebabkan bebola api itu berlaku sejak April.
Kenyataan Lieberman dikeluarkan selepas gencatan senjata dicapai selepas pertempuran hebat berlaku antara penduduk Tebing Gaza dan tentera Israel pada Jumaat.
Pertempuran itu-yang kedua sejak berminggu lalu- susulan ketegangan sejak berbulan-bulan lamanya kerana kebimbangan tercetusnya perang keempat sejak kali terakhir perang meletus antara Hamas dan Israel pada 2008.
Pada 9 Julai, Israel mengumumkan laluan barangan itu ditutup untuk penghantaran kebanyakan jenis barangan susulan pertempuran di sempadan.
Pada 17 Julai, ia mengetatkan lagi sekatan untuk menghalang penghantaran minyak dan mengurangkan zon penangkapan ikan yang dikenakan Israel kepada Gaza kepada tiga batu nautika berbanding enam sebelum ini.
Laluan itu masih dibuka kepada penghantaran makanan dan ubat-ubatan berdasarkan pertimbangan semasa. – AFP, 22 Julai, 2018.
Komen