Jerman kecam tangkapan enam aktivis termasuk seorang rakyatnya di Turki


Hubungan antara Turki dan Jerman semakin tegang selepas rampasan kuasa yang gagal berlaku di Turki tahun lepas dan Berlin menyuarakan kebimbangan hak asasi di negara itu. – Gambar AFP, 19 Julai, 2017.

BERLIN memanggil duta Turki ke Jerman selepas penahanan seorang aktivis hak asasi manusia warga Jerman di Turki minggu ini.

“Kerajaan Turki perlu mendengar kemarahan dan tidak puas hari kerajaan Jerman serta merta serta memberikan penjelasan terperinci mengenai kes Peter Steudtner, dan kali ini tanpa adab sopan diplomatik,” kata jurucakap kementerian luar Marin Schaefer.

Katanya duta itu diberitahu yang penahanan Steudtner dan lima aktivis lain termasuk pengarah Amnesty International Turki “tidak boleh diterima”.

Berlin mendesak “pembebasan serta merta” Stuedtner.

Wakil kerajaan Turki mengatakan yang dia akan memberikan mesej itu serta merta kepada Ankara.

Mahkamah Turki semalam mengarahkan penahanan enam aktivis hak asasi manusia termasuk pengarah Amnesty International Turki kerana di dakwa melindungi kumpulan “pengganas”, dakwaan yang disifatkan Schaefer tidak masuk akal.

Canselor Angela Merkel mengecam penahanan enam aktivis itu, menyifatkannya sebagai “tidak berasas” dan berikrar “membantu Steudtner dalam semua tahap”.

Hubungan antara Turki dan Jerman yang mempunyai hampir tiga juta rakyat berketurunan Turki terjejas teruk, terutama sekali selepas kegagalan rampasan kuasa tahun lalu yang dilakukan ke atas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Berlin menyuarakan kebimbangan tentang tangkapan besar-besaran dan pemecatan mereka yang didakwa bersubahat dalam rampasan kuasa itu.

Salah satu pertikaian antara dua negara itu tertumpu kepada Deniz Yucel seorang wartawan berketurunan Jerman-Turki dengan akhbar Jerman, Die Welt yang dipenjarakan di Turki kerana dakwaan keganasan awal tahun ini. – AFP, 19 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen