PULUHAN penunjuk perasaan di Nepal cedera dalam pertempuran dengan polis selepas menyertai demonstrasi bagi menyokong usaha seorang doktor yang menuntut penjagaan kesihatan lebih baik di negara tersebut.
Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya pada Sabtu bagi menunjukkan solidariti kepada Dr Govinda KC, yang melakukan mogok lapar selama hampir sebulan bagi menuntut pembaharuan sektor perubatan dan pendidikan.
Penunjuk perasaan dari Nepal Tarun Dal, sayap pemuda parti pembangkang Kongres Nepal, cedera selepas polis bertindak menembak gas pemedih mata dan menghayunkan cota ke arah penunjuk perasaan yang merempuh kawasan larangan di bangunan Parlimen dekat Kathmandu.
Aktivis pada Ahad berkata mereka akan merancang lebih banyak tunjuk perasaan susulan pertempuran tersebut.
“Kami melakukan bantahan terhadap tingkah laku ‘kuku besi’ kerajaan, mereka tidak mendengar suara rakyat dan tuntutan Dr Govinda KC,” kata Bhupendra Jung Shahi, setiausaha agung Nepal Tarun Dal kepada AFP.
Disifatkan oleh para penyokongnya sebagai “Robin Hood” perubatan, Dr KC terkenal di Nepal kerana kerja-kerja amal yang dilakukannya.
Beliau menyediakan rawatan perubatan dan melatih pekerja kesihatan tempatan di beberapa penempatan terpencil di negara itu.
Dr KC, 61, melakukan mogok lapar sebanyak 15 kali sejak enam tahun lalu, sebagai usaha mendesak kerajaan agar meningkatkan tahap penjagaan kesihatan di negara itu.
Beliau memulakan mogok lapar, yang paling lama selama 23 hari, pada 30 Jun di daerah terpencil dekat Jumla dan dibawa ke Kathmandu oleh kerajaan minggu lalu ekoran kesihatannya yang kian merosot.
Bantahan tercetus susulan rang undang-undang pendidikan perubatan yang didaftarkan di Parlimen awal bulan ini bertujuan untuk membatalkan ordinan oleh kerajaan terdahulu yang memenuhi tuntutan Dr KC untuk mengawal selia latihan doktor dan mengurangkan pengkomersialan dalam sektor pendidikan perubatan.– AFP, 22 Julai, 2018.
Komen