Penyokong bola Indonesia rosakkan stadium Sukan Asia


Perlawanan liga antara Sriwijaya FC dan Arema FC berakhir dengan kekecohan pada tengahari Sabtu selepas penyokong mencabut kerusi di Stadium Gelora Sriwijawa, Palembang di Sumatra. Stadium itu akan digunakan untuk Sukan Asia bulan depan. – Gambar AFP, 22 Julai, 2018.

PEMINAT bola sepak Indonesia mencabut kerusi plastik dan membalingnya ke padang dalam stadium yang dijadualkan menjadi tempat pertandingan Sukan Asia bulan depan, kata seorang pegawai pada Ahad.

Perlawanan liga antara Sriwijaya FC dan Arema FC berakhir dengan kekecohan pada tengahari Sabtu selepas penyokong mencabut kerusi di Stadium Gelora Sriwijawa, Palembang di Sumatra.

Gambar menunjukkan kerusi dibaling ke kawasan lapangan olahraga dalam stadium.

“Kami sangat marah dengan penyokong yang merosakkan kerusi dalam Gelora Sriwijaya ketika perlawanan,” kata Rusli Nawi, pengawai keselamatan stadium kepada AFP.

“Saya sudah kerja di sini hampir 10 tahun…tidak pernah ada kerosakan kerusi seperti semalam.”

Stadium itu baharu sahaja ditambah baik untuk temasya Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung di Palembang dan Jakarta pada 18 Ogos sehingga 2 September.

Indonesia bergelut menyiapkan persediaan tempat, menyiapkan kerja-kerja tambah baik bangunan, meluaskan jalan raya dan mengurangkan kesesakan trafik.

335 buah kerusi dirosakkan, separuh daripadanya perlu diganti dengan kerusi yang dipesan dari luar Indonesia, kata Nawi.

Polis menahan empat orang kerana kekecohan itu, yang bermula apabila peminat Sriwijaya marah kerana pasukan mereka kalah 3-0, kata Nawi lagi.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Sejumlah 11,000 atlit dan 5,000 pegawai dari 45 negara Asia akan bertanding di temasya itu, yang kedua terbesar di dunia selepas Olimpik. – AFP, 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen