Myanmar didakwa buat 'persediaan sistematik' genosid terhadap Rohingya


Fortify Rights mendapati pihak berkuasa Myanmar telah melakukan 'persediaan yang rapi dan sistematik' untuk melancarkan serangan ke atas Rohingya berbulan-bulan lamanya sebelum Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA) menyerang pos luar polis di Maungdaw, Rathedaung dan Buthidaung pada 25 Ogos 2017.– Gambar AFP, 22 Julai, 2018.

“PIHAK berkuasa Myanmar beri pedang panjang kepada mereka,” kata Mohammed Rafiq, 25.

Pemuda Rohingya itu menuduh pihak berkuasa Myanmar memberi senjata kepada orang awam selain Rohingya di wilayah Rakhine untuk melancarkan genosid terhadap komunitinya yang telah sekian lama ditindas di negara berkenaan.

“Saya nampak. (Tentera) beri pedang (kepada orang awam Rakhine). Malah budak-budak lelaki pun diberikan pedang panjang dan mereka berjalan ke sana sini dengan pedang tergantung di belakang mereka,” katanya dalam temu bual dengan pertubuhan hak asasi manusia Fortify Rights. 

Pada 30 Ogos tahun lepas, pemuda itu menyaksikan pembunuhan beramai-ramai yang diketuai tentera Myanmar di Tula Toli (juga dikenali sebagai Min Gyi) di daerah Maungdaw.

Perkongsiannya  terkandung dalam laporan Fortify Rights setebal 160 muka surat yang baru diterbitkan bertajuk “They Gave Them Long Swords”: Preparations for Genocide and Crimes Against Humanity Against Rohingya Muslims in Rakhine State (Tentera Myanmar Berikan Mereka Pedang Panjang: Persediaan  untuk Genosid dan Jenayah Terhadap Kemanusiaan ke atas Orang Islam Rohingya di Rakhine).

Dalam satu lagi temu bual, Abdul Hussein menuduh tentera Myanmar bukan sahaja memberi senjata kepada orang awam Rakhine tetapi juga melatih mereka menggunakan senjata api.

“Saya nampak (tentera Myanmar) melatih mereka. Mereka ajar orang awam menembak,” kata bapa kepada tiga anak yang terselamat dalam pembunuhan beramai-ramai di kampung Khun Thi Pyin (Kuan Si Paun) juga di Maungdaw pada 29 Ogos 2017.

Laporan Fortify Rights itu adalah berasaskan siasatan selama 21 bulan dan 254 temu bual dengan individu-individu di Myanmar dan Bangladesh termasuk mereka yang terselamat dalam genosid seperti Mohammed Rafiq dan Abdul Hussein. 

Dalam laporan itu, badan bukan kerajaan berkenaan mendapati pihak berkuasa Myanmar telah melakukan “persediaan yang rapi dan sistematik’ untuk melancarkan serangan ke atas Rohingya berbulan-bulan lamanya sebelum Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA) menyerang pos luar polis di Maungdaw, Rathedaung dan Buthidaung pada 25 Ogos 2017.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Matthew Smiths, laporan mendapati ada asas munasabah untuk merumuskan jenayah yang dilakukan oleh tentera dan polis Myanmar serta orang awam lain terhadap Rohingya di kesemua tiga bandar di utara Rakhine itu adalah bersifat genosid.

“Genosid tidak berlaku secara spontan,” katanya semasa mendedahkan kandungan laporan itu di Foreign Correspondent Club of Thailand (FCCT) di Bangkok baru-baru ini.

Laporan antara lain menyatakan bagi tempoh Oktober 2016 dan Ogos 2017, pihak berkuasa Myanmar melakukan pelucutan senjata secara sistematik dalam kalangan orang awam Rohingya dengan merampas perkakas rumah yang boleh dijadikan senjata atau alat mempertahankan diri serta melengkapi kaum bukan Rohingya dengan senjata di utara Rakhine.

Menurut laporan itu pihak berkuasa juga merobohkan pagar serta struktur lain di sekitar rumah orang Rohingya, menggantung bantuan kemanusiaan dan akses kepada Rohingya, menguatkuasakan perintah berkurung kepada orang Islam sahaja dan menempatkan kumpulan tentera yang besar.

Tindakan yang sengaja dilakukan ini menurut Fortify Rights, menepati Kerangka Kerja bagi Analisis Jenayah Kekejaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai “langkah-langkah persediaan” untuk genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Jika diambil mudah, jenayah-jenayah ini akan membuka jalan kepada lebih banyak pencabulan dan serangan pada masa depan. Dunia tidak boleh sekadar duduk dan melihat satu lagi genosid berlaku, namun  pada masa sekarang itulah yang berlaku,” kata Smiths.

Laporan itu menggesa Majlis Keselamatan PBB agar segera merujuk situasi di Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Dalam laporan itu, Fortify Rights turut merekodkan bagaimana tentera, polis dan penduduk bukan Rohingya menetak, mengelar leher serta menembak mati dan membakar ribuan lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya dalam tempoh beberapa minggu.

Rasida, 50 berkata dia menyaksikan tentera Myanmar dan “loh htein” (polis rusuhan) mengheret dua anak lelakinya yang telah dewasa keluar dari rumah di Kha Maung Seik (juga dikenali sebagai Fora Bazaar) di Maungdaw pada 27 Ogos tahun lepas

“Saya tengok keseluruhannya. Askar arahkan mereka berbaring di atas tanah dan kelar leher mereka. Kami menjerit dan menangis,” katanya dalam temu bual yang dipetik laporan berkenaan.

Fortify Rights juga mengenal pasti 22 pegawai tentera dan polis yang bertanggungjawab memberi arahan bagi “operasi pembersihan” di utara wilayah Rakhine itu termasuk Panglima Tentera Jen Min Aung Hlaing, Timbalannya Jen Soe Win dan Ketua Turus Bersama Jen Mya Tun Oo.

“Pegawai-pegawai kanan pasukan keselamatan ini harus disiasat dan berpotensi didakwa bagi genosid dan jenayah terhadap manusia,” katanya.– Bernama, 22 Julai, 2018.

*Semua nama saksi dalam laporan ini adalah nama samaran atas faktor keselamatan


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen