Walaupun tak puas hati, Sarawak tak keluar Malaysia, kata KM


Desmond Davidson

Ketidakpuasan hati rakyat Sarawak dan hakisan hak negeri perlu diselesaikan dengan rundingan berhemah dengan Putrajaya kerana itu tidak wujud keperluan keluar Malaysia, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Julai, 2018.

KETIKA hubungan antara negeri dan persekutuan terus bergolak dengan cubaan Putrajaya menafikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta ketidakpuasan hati yang semakin membara, Abang Johari Openg memberi jaminan “tidak ada keperluan untuk Sarawak keluar Malaysia”.

Bagaimanapun, ketua menteri itu juga mengingatkan pemimpin Semenanjung, berada dalam Malaysia tidak bermakna negeri itu tidak boleh menuntut haknya berdasarkan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga percaya yang hakisan kuasa berbanding yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan “perlu dibetulkan dan diselesaikan secara berhemah menerusi rundingan”.

Ketidakpuasan hati yang wujud juga tidak sihat untuk kesejahteraan Malaysia, katanya lagi.

Tambahnya, pada awalnya Sarawak berpuas hati dengan janji bersama-sama membentuk Malaysia yang terlunas.

“Sarawak memutuskan untuk membentuk Malaysia dengan Malaya, Sabah dan Singapura atas sebab yang sah ketika itu.  

“Keselamatan Sarawak berdepan dengan gangguan jiran dan ancaman dalaman negeri diselesaikan dengan bantuan Malaya dan negara Komanwel.

“Tetapi selepas itu, sengaja atau tidak, hak Sarawak dicabuli tanpa disedari rakyat Sarawak.

“Ini sudah tentu menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat Sarawak,” katanya pada ucapan Hari Sarawak di Kuching hari ini.

Ketidakpuasan hati itu semakin membuak apabila Petronas cuba menuntut hak milik ke atas sumber minyak dan gas negeri.

Mei lalu, syarikat minyak negara itu memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan menuntut pengisytiharan sebagai pemilik eksekutif sumber minyak dan gas Malaysia berdasarkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) dan kedudukannya sebagai pengawal selia aktiviti huluan petroleum Sarawak.

Petronas juga menuntut pengisytiharan yang Ordinan Perlombongan Minyak 1958 Sarawak (OMO 1958), yang dakwa Sarawak memberikannya kuasa perundangan menyelia industri minyak dan gas adalah terbatal dengan kewujudan PDA seterusnya menyebabkan syarikat minyak negeri, Petros bukanlah badan penyelia yang sah.

Mahkamah tertinggi negara itu bagaimanapun menolak permohonan Petronas kerana di luar bidang kuasanya dan memintanya memfailkan permohonan di mahkamah tinggi.

Beberapa hari lalu pula, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menimbulkan kemarahan dua negeri Borneo- Sarawak dan Sabah- apabila berkata royalti minyak akan dibayar berdasarkan keuntungan dan bukannya pengeluaran.

Bagaimanapun, Abang Johari menegaskan yang OMO 1958 tidak pernah terbatal, “kami tak pernah bersetuju kepada mana-mana undang-undang persekutuan yang mengatasi OMO 1958” dan minyak Sarawak adalah milik negeri.

“Undang-undang ini (OMO 1958) tidak pernah dibatal dan kami tak pernah bersetuju kepada mana-mana undang-undang persekutuan untuk mengatasi OMO 1958.

“Ini termaktub dalam MA63 yang menyatakan mana-mana undang-undang yang memberi kesan kepada hak negeri hanya terpakai dan sah di Sarawak selepas diluluskan DUN.

“Tidak, Sarawak tak pernah bersetuju dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang diluluskan Parlimen dan kami menegaskan yang OMO 1958 tidak boleh terkesan atau serta merta terbatal oleh PDA 1974.”

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas adalah “kejayaan untuk rakyat Sarawak”.

Bagaimanapun, ketua menteri itu memberi jaminan yang kerajaan negeri “akan sentiasa rasional dan mesra perniagaan” dalam hubungannya dengan Petronas.

Hari Sarawak pertama kali diraikan pada 2012 ketika Gabenor Abdul Taib Mahmud menjadi ketua menteri. Ia diisytiharkan sebagai cuti umum Sarawak pada 2016 oleh ketua menteri ketika itu Adenan Satem yang meninggal dunia tahun lepas. – 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen