Facebook siasat skandal kebocoran data terbaru


Facebook sedang menyiasat kemungkinan wujudnya kebocoran data dilakukan Crimson Hexagon, syarikat yang menuai data pengguna media sosial itu dan mempunyai kontrak dengan kerajaan AS dan Rusia. Ini adalah skandal kebocoran data kedua selepas Cambridge Analytica. – Gambar EPA, 22 Julai, 2018.

FACEBOOK mengantung perkhidmatan sebuah syarikat analisis data berpangkalan di Boston daripada lamannya dan berkata ia sedang menyiasat sama ada kontrak syarikat itu bersama kerajaan AS dan sebuah organisasi Rusia melanggar dasar peribadi penggunanya, lapor Wall Street Journal.

Syarikat itu, Crimson Hexagon berkata platformnya membolehkan pelanggannya- termasuklah gergasi korporat AS- menganalisis pengguna Facebook dan menjejak persepsi jenama dan prestasi kempen syarikat.

Memetik sumber, akhbar perniagaan itu berkata kontrak kerajaan bersama Crimson Hexagon yang menarik data awam dari Facebook tidak diluluskan gergasi media sosial itu.

Sejak 2014, agensi kerajaan AS membayar Crimson Hexagon lebih daripada AS$800,000 untuk 22 kontrak, kata akhbar itu yang memetik data perolehan kerajaan.

Crimson Hexagon juga menjual platform analisisnya ke luar negara termasuk ke Turki dan Rusia. Pada 2014, syarikat itu bekerja dengan organisasi yang ada kaitan dengan kerajaan, lapor akhbar itu pada Jumaat.

Katanya, Crimson Hexagon juga sekurang-sekurangnya sekali pernah tersilap menerima data peribadi perkhidmatan Instagram yang dimiliki Facebook.

Facebook sudah meminta bukti lanjut daripada Crimson Hexagon tetapi akhbar itu memetik kenyataan jurucakap media sosial itu sebagai berkata “berdasarkan siasatan awal, Crimson Hexagon tidak mendapat maklumat Facebook atau Instagram menggunakan kaedah meragukan.”

Facebook bulan ini mengakui ia sedang berdepan beberapa siasatan daripada pihak berkuasa AS dan Britain berkaitan skandal Cambridge Analytica.

Dalam situasi kebocoran data terburuk pernah dialami Facebook, ia mengakui sehingga 87 juta penggunanya mungkin digodam data mereka oleh Cambridge Analytica yang bekerja untuk kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016.

Cambridge Analytica yang menafikan dakwaan itu sudah memfailkan permohonan muflis di AS dan Britain.

Facebook dan gergasi internet lain berdepan tekanan hebat untuk melindungi data penggunanya bagi mengelak data pengguna disalah guna. – AFP, 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen