SEORANG lelaki warga Perancis yang dipenjara 18 tahun kerana menyeludup dadah ke Bali dijangka tiba di tanah airnya pada Ahad selepas diusir dalam kes yang mencetuskan ketegangan diplomatik kedua-dua negara.
Polis menangkap Michael Blanc sehari selepas Krismas 1999 di lapangan terbang pulau itu bersama 3.8 kilogram ganja disembunyikan dalam peralatan menyelamnya.
Lelaki itu kini yang berusia 45 tahun pada mulanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup- mengelak hukuman mati yang selalunya dijatuhkan kepada penyeludup dadah warga asing, termasuklah dua ahli Bali Nine yang dihukum mati pada 2015.
Tempoh penjara Blanc kemudiannya dikurangkan kepada 20 tahun dan pada 2014 beliau mendapat sesuatu yang sangat jarang diberikan kepada tahanan asing- parol.
Bekas tukang masak itu tiba di lapangan terbang Jakarta pada Sabtu diiringi pegawai imigresen Indonesia dan ditemani ibunya, Helene Le Touzey yang menghabiskan masa dua dekad di Indonesia berjuang pembebasannya.
Kedua-dua mereka menaiki penerbangan Turkish Airlines pada jam 9:00 malam waktu tempatan. Mereka dijangka tiba di Paris pada Ahad jam 11:00 pagi.
Hukuman penjara seumur hidup itu dijatuhkan mahkamah Indonesia yang menolak dakwaan Blanc yang beliau membawa peralatan menyelam diisi dadah itu untuk kawannya, dikritik Perancis sebagai terlalu keras.
Paris membawa isu itu ke peringkat tertinggi, dengan perdana menteri ketika itu, Francois Fillon membangkitkan kesnya ketika melawat Indonesia pada 2011.
Hasil perjuangan ibunya, pada 2008 hukuman Blanc dikurangkan kepada 20 tahun penjara.
Le Touzey kemudiannya berjaya mendapatkan parol untuk anaknya pada 2014, walaupun undang-undang Indonesia jarang membenarkan pembebasan bersyarat kepada warga asing yang hanya menjalani dua pertiga hukuman.
Tempoh parol tiga tahun Blanc tamat pada Julai 2017, selepas itu beliau dihendaki menamatkan tempoh percubaan kelakuan baik setahun.
Indonesia adalah antara negara dunia yang mempunyai undang-undang dadah yang ketat.
Lebih 70 orang, termasuk 42 warga asing berdepan hukuman tembak kerana kesalahan dadah, menurut Pakatan untuk Penghapusan Hukuman Mati di Asean.
Indonesia sudah melaksanakan hukuman mati ke atas beberapa orang penyeludup dadah sejak Presiden Joko Widodo berkuasa pada 2014.
Antara mereka adalah warga asing, termasuklah dua ahli Bali Nine yang ditangkap pada 2005 kerana cuba menyeludup heroin dari Indonesia ke Australia.
Hukuman mati ke atas warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran mencetuskan ketegangan diplomatik dan desakan antarabangsa supaya Indonesia menghapuskan hukuman mati.
Walaupun Jakarta menangguhkan pelaksanaan hukuman mati tahun lepas, Widodo berkata negara itu berdepan “darurat dadah” dan pernah mengarahkan polis menembak penyeludup yang melawan ketika ditahan.
Kes berprofil tinggi seperti warga Australia, Schapelle Corby yang dipenjara sembilan tahun kerana menyeludup ganja ke Bali juga mencetuskan kebimbangan yang Indonesia menjadi negara tumpuan dadah.
Corby diusir pada 2017 selepas beberapa tahun parol. – AFP, 22 Julai, 2018.
Komen