SATU lagi pernikahan melibatkan remaja bawah umur dilaporkan berlaku – selang dua hari selepas kes melibatkan rakyat Malaysia mengahwini budak perempuan 11 tahun.
Laporan Berita Harian menyebut, kes terbaru itu melibatkan budak perempuan berusia 13 tahun berasal dari Kelantan dengan pemuda berusia 19 tahun yang berasal dari Terengganu.
Seorang kadi di Sungai Golok, Thailand yang didakwa mengahwinkan pasangan tersebut dilaporkan berkata, perkahwinan pada 20 Jun itu itu didaftarkan di Majlis Agama Islam Narathiwat.
Ibrahim Husin, 67 berkata beliau bersetuju mengahwinkan pasangan tersebut selepas mendapati pengantin perempuan akil baligh dan membawa wakil sah.
“Budak perempuan 13 tahun dan pasangannya menemui saya bersama dua saksi dan wakil yang juga bapa saudara pengantin.
“Saya menjalankan tanggungjawab dengan betul. Mereka ingin berkahwin dan berdasarkan syariah mereka boleh kahwin asalkan ada wali sama ada bapa pengantin perempuan, adik lelaki atau saudara terdekat dan perempuan itu mesti akil baligh,” kata Ibrahim.
Beliau memberitahu akhbar tersebut pernikahan itu dijalankan di Masjid Al-Uluwiah dan sudah banyak kali menikahkan pasangan bawah umur.
“Sebelum ini saya pernah mengahwinkan beberapa pasangan dari Malaysia termasuk budak berusia 12 tahun dan bawah 16 tahun tetapi perkahwinan mereka semuanya sah dari segi agama,” katanya.
Dalam kes terdahulu melibatkan pengantin perempuan 11 tahun, pasangannya seorang penoreh getah berusia 41 tahun didenda RM1,800 oleh Mahkamah Syariah Gua Musang.
Beliau mengaku bersalah berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran mahkamah dan berpoligami tanpa kebenaran dan izin isterinya
Kes tersebut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak yang turut mengkritik peruntukan dalam undang-undang syariah kerana didakwa tidak menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak. – 22 Julai, 2018.
Komen