Mayat tentera beku 50 tahun ditemui di Himalaya


Sekumpulan pendaki gunung menemui serpihan bangkai pesawat dan mayat seorang anggota tentera India yang beku di kawasan glasier di banjaran Himalaya. – Gambar Facebook, 22 Julai, 2018.

MAYAT seorang anggota tentera India yang beku ditemui di sekitar kawasan glasier di banjaran Himalaya oleh sekumpulan pendaki gunung, 50 tahun selepas askar itu dan lebih 100 yang lain terbunuh dalam satu insiden nahas pesawat.

Pasukan mendaki turut menjumpai beberapa cebisan bangkai pesawat Antonov An-12 buatan Kesatuan Soviet milik Tentera Udara India yang terhempas pada Februari 1968.

“Kami terjumpa tangan daripada mayat manusia yang terjuntai keluar dari ais. Bahagian tubuh lain dapat dilihat di dalam bongkah ais itu,” kata ketua ekspedisi, Rajiv Rawat.

Rawat berkata mereka menghubungi pasukan tentera yang kemudiannya melancarkan operasi mengeluarkan mayat itu.

Mayat anggota terbabit ditemui pada ketinggian 5,500 meter di banjaran Himalaya, India dan yang kelima ditemui daripada nahas berkenaan selepas beberapa siri pencarian gagal memberikan hasil sejak berpuluh tahun lalu.

Mayat terakhir ditemui dan dikenal pasti sebelum ini pada 2013.

Nahas pesawat pengangkut itu mengorbankan 102 nyawa, termasuk 98 anggota tentera.

Pesawat terbabit sedang dalam perjalanan ke Kashmir tetapi gagal mendarat berikutan cuaca buruk dan terputus hubungan dengan lembah Spiti di utara India. – AFP, 22 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen