SERANGAN udara ke atas kumpulan warga Yaman yang berpindah membunuh sekurang-kurangnya 20 orang awam, kebanyakannya daripada keluarga yang sama, kata Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan saksi dalam satu kenyataan.
Serangan yang berlaku pada petang Selasa itu terkena sekumpulan orang awam di daerah Mawza di barat daya wilayah Taez, menurut kenyataan agensi pelarian PBB.
Penduduk berkata, serangan itu dijalankan pesawat tempur pakatan yang diketuai Arab Saudi untuk menentang pemberontak Syiah sebagai sokongan ke atas kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa.
UNHCR berkata pihaknya terkejut dan sedih dengan laporan kematian dan kecederaan orang yang dipindahkan secara dalam serangan udara di kawasan itu.
Kenyataan itu menyebut orang awam bertindak melarikan diri daripada peperangan di kawasan berhampiran daerah Mokha, pesisir pantai Laut Merah.
Pasukan tentera pakatan yang setia kepada Presiden Abedrabbi Mansour Hadi menawan semula pelabuhan Mokha pada Februari selepas beberapa serangan untuk menghalau pemberontak dari kawsan pesisir pantai Yaman.
“Insiden terbaharu ini menggambarkan bahaya yang dihadapi orang awam di Yaman terutamanya kepada mereka yang cuba mengelak daripada kekejaman, kerana mereka menanggung beban konflik yang tidak seimbang,” menurut kenyataan itu.
Tentera pakatan melancarkan operasi ketenteraan terhadap pemberontak pada Mac 2015 ketika pemberontak menghampiri Hadi di selatan Aden memaksanya mencari perlindungan di Riyadh.
Organisasi Kesihatan Sedunia menganggarkan lebih 8,000 orang terbunuh dalam konflik di Yaman, kebanyakannya orang awam sejak Mac 2015. – AFP, 19 Julai, 2017.
Komen