SENAT Chile mengambil langkah penting dalam usaha membolehkan penguguran kandungan dalam negara konservatif itu selepas bersetuju untuk membenarkan prosedur penguguran dalam tiga situasi terpilih.
Langkah itu yang disokong Presiden Michelle Bachelet membenarkan penguguran dalam kes rogol, sekiranya nyawa ibu terancam atau jika bayi dalam kandungan dikesan mempunyai kecacatan yang membahayakan nyawa.
Selepas tiga jam perdebatan hangat dan lebih dua tahun proses itu, senator akhirnya meluluskan cadangan untuk pengundian berasingan dalam setiap keadaan.
Semua jenis penguguran diharamkan di Chile sejak pemerintahan diktator Augusto Pionochet yang berakhir pada 1989, dan undang-undang sedia ada membolehkan hukuman dijatuhkan sehingga lima tahun penjara sekiranya didapati bersalah.
Sebelum itu, untuk lebih daripada 50 tahun, Chile membenarkan penguguran sekiranya nyawa ibu dalam bahaya atau jika bayi meninggal dalam kandungan.
Langkah penguguran itu masih memerlukan kelulusan Kamar Timbalan sebelum boleh menjadi undang-undang dan ditandatangani Bachelet, seorang doktor perubatan yang kembali berkuasa pada Mac 2014 selepas berkhidmat sebagai presiden wanita pertama Chile pada 2006 hingga 2010.
Perwakilan Parti Sosicalis yang diketuai Bachelet sebelum ini cuba membentangkan rang undang-undang berkaitan penguguran, tetapi usaha mereka sentiasa menerima tentangan. – AFP, 19 Julai, 2017.
Komen