SURUHANJAYA Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia menahan warden penjara Sukamiskin Wahid Husen di Bandung, Utara Jawa, berhubung dakwaan rasuah pada Sabtu.
Wahid ditahan bersama lima individu lain ketika operasi penyamaran dijalankan di penjara yang menempatkan pesalah rasuah itu, kata Jurucakap (KPK) Febri Diansyah.
“Enam orang (yang ditahan) termasuk seorang pegawai penjara, pesalah rasuah dan saudara-mara mereka serta seorang kakitangan penjara,” kata Febri seperti dipetik portal berita tempatan, kompas.com.
Ahli perniagaan Fahmi Darmawansyah, pesalah rasuah yang menjalani hukuman di penjara itu, antara yang turut ditahan.
Isteri Fahmi, yang merupakan seorang pelakon dan model Inneke Koesherawati, dilaporkan turut ditahan dalam operasi tersebut.
Sementara itu, Wakil Ketua KPK Saut Situmorang berkata Wahid didakwa menerima suapan dari Fahmi Darmawansyah sebagai balasan kerana memberikan layanan “luar biasa” kepada banduan tersebut di penjara.
“Didakwa pemberian (rasuah) dari FD (Fahmi Darmawansyah) itu berkaitan kemudahan sel yang dinikmati FD dan kemudahan untuknya dapat keluar masuk penjara,” kata Saut seperti dipetik portal berita itu.
Dalam operasi tersebut, KPK menyita dua kereta jenama Mitsubishi Triton Exceed dan Mitsubishi Pajero Sport Dakkar serta wang tunai berjumlah Rp$279,920,000 dan AS$1,410.– 21 Julai, 2018.
Komen