SEORANG gadis 15 tahun yang dirogol abang kandungnya dipenjarakan enam bulan kerana mengugurkan kandungan, kata seorang pegawai Indonesia pada Ahad.
Gadis itu dijatuhi hukuman itu pada Khamis bersama-sama abangnya yang berusia 17 tahun pada perbicaraan tertutup di Mahkamah Daerah Muara Bulian, Sumatra, kata jurucakap mahkamah Listyo Arif Budiman.
“Gadis itu didakwa di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak kerana mengugurkan kandungan,” katanya kepada AFP.
Abangnya dipenjara dua tahun kerana melakukan serangan seksual kepada gadis bawah umur.
Indonesia melarang penguguran kandungan kecuali nyawa wanita dalam risiko atau situasi tertentu sekiranya dirogol.
Undang-undang menghendaki penguguran perlu dilakukan oleh pegawai perubatan bertauliah tidak lebih daripada enam minggu kandungan dan wanita terbabit perlu menjalani kaunseling.
Gadis itu yang dirogol abangnya sebanyak lapan kali bermula September tahun lepas menggugurkan kandungan enam bulan selepas mengandung, kata Budiman.
Beliau dibantu ibunya yang juga berdepan pertuduhan berasingan.
Polis menahan adik beradik itu pada Jun selepas mayat bayi ditemui di sebuah ladang kelapa sawit berhampir Kampung Pulau, Jambi.
Pendakwaraya pada mulanya meminta hukuman penjara setahun untuk gadis itu dan tujuh tahun penjara untuk abangnya. Rayuan hukuman mungkin akan dilakukan, kata mereka.
Pihak berkuasa kesihatan dunia dan kumpulan hak asasi sudah lama mengecam undang-undang penguguran kandungan Indonesia yang disifatkan mengekang hak kesihatan pembiakan wanita dan menyebabkan banyak penguguran haram yang membahayakan nyawa dilakukan di klinik haram.
30% hingga 50% kematian wanita ketika bersalin disebabkan penguguran kandungan di negara itu, menurut data dikeluarkan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO). – AFP, 21 Julai, 2018.
Komen