SEBANYAK 8,165 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor ditawarkan kepada golongan pencari kerja di negeri Kedah tahun ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar.
Beliau berkata berdasarkan maklumat platform carian kerja dalam talian, Jobstreet.com, secara keseluruhan sejumlah 14,830 kekosongan jawatan ditawarkan dengan 6,665 kekosongan telah dipenuhi.
Setakat ini seramai 14,034 pencari kerja aktif berdaftar di Kedah dengan 4,089 merupakan pencari kerja yang baru berdaftar tahun ini, katanya kepada pemberita selepas sesi tinjauan mesra sempena Karnival Kerjaya @ Sungai Petani, di Sungai Petani hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Kedah, Azrul Hisham Kamaruzzaman dan Exco Sumber Tenaga Manusia negeri, Simon Ooi Tze Min.
Karnival sehari di Dewan Kenangan Sultan Abdul Hamid, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) itu menawarkan 1,200 kekosongan jawatan daripada 25 majikan dari seluruh negeri.– Bernama, 21 Julai, 2018.
Komen