PERANCIS dan Rusia pada Sabtu menghantar pesawat yang membawa bantuan kemanusiaan ke bekas kawasan pemberontak Syria di Ghouta Timur, yang ditawan semula oleh tentera kerajaan pada April selepas melakukan pengepungan selama lima tahun.
Pesawat Rusia Antonov 124, sebuah pesawat kargo tentera yang membawa 50 tan bantuan perubatan dan bekalan kemanusiaan meninggalkan lapangan terbang di Chateauroux, Perancis pada jam 3 pagi (0100 GMT), kata ketua lapangan terbang Mark Bottemine kepada AFP.
Ia dilaksanakan sebagai sebahagian daripada resolusi Majlis Keselamatan PBB, “matlamat projek ini adalah untuk membolehkan penduduk awam mendapat akses yang lebih baik untuk membantu,” kata Perancis dan Rusia dalam kenyataan bersama.
Pesawat sedang menuju pangkalan udara Hmeimim di Rusia di barat Syria. Ia merupakan operasi bantuan kemanusiaan pertama antara Rusia dan negara barat.
Bantuan itu akan diedarkan pada Sabtu di bawah pengawasan pejabat PBB untuk Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan (OCHA).
“Bantuan kemanusiaan adalah keutamaan mutlak dan harus diedarkan sesuai dengan prinsip kemanusiaan, keberkecualian, tidak berpihak dan ibebas di seluruh wilayah Syria tanpa pengecualian, di mana hukum kemanusiaan antarbangsa harus dihormati sepenuhnya,” kata kenyataan bersama itu.
Perancis telah mendapatkan “jaminan” dari Rusia bahawa rejim Syria tidak akan menghalang pengedaran bantuan tersebut, dan ia tidak akan disalahgunakan atau dialihkan untuk tujuan politik, kata kementerian luar negara.
Lebih daripada 1,700 orang awam terbunuh semasa operasi rejim Syria di Ghouta Timur pada Mac dan April. Menurut tentera Rusia, lebih 160,000 orang, baik tentera dan orang awam, dipindahkan dari rantau ini.
Kargo yang dibawa berisi barangan berupa peralatan perubatan, khemah, peralatan memasak dan selimut, kata jurugambar AFP yang menyaksikan pesawat itu dimuatkan dengan barangan bantuan.
Bantuan perubatan ini akan diberikan kepada kira-kira 500 orang yang cedera parah dan 15,000lain yang mengalami kecederaan ringan semasa pertempuran di Ghouta Timur, di pinggir ibu kota Syria Damaskus.– AFP, 21 Julai, 2018.
Komen