Cuaca buruk punca nahas pesawat tentera di Myanmar


FAKTOR cuaca menjadi punca nahas pesawat tentera Myanmar yang mengorbankan 122 orang, lapor media pada Rabu, yang menjadikan ia nahas penerbangan paling buruk dalam sejarah negara itu.

Pesawat buatan China Shaanxi Y8 milik tentera negara itu dilaporkan menjunam ke Laut Andaman dalam penerbangan rutin dari selatan bandar Myeik ke Yangon.

Kapal tentera laut dan bot nelayan terpaksa berdepan cuaca buruk pada hari berikutnya untuk mengeluarkan mayat yang kebanyakannya adalah isteri dan anak kepada anggota tentera.

 Rakaman kotak hitam pesawat menunjukkan pesawat malang itu terjunam selepas bahagian sayapnya diselaputi ais dan peningkatan angin lintang menyebabkan enjin pesawat terhenti.

Pesawat berkenaan dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan kira-kira setengah jam selepas berlepas dari Myeik pada ketinggian 18,000 kaki (5,486 meter), menurut kenyataan tentera sebelum ini.

“Nahas itu berpunca daripada hilang kawalan selepas berdepan perubahan cuaca mendadak menyebabkan enjin pesawat terbabit mati dan menjunam,” kata kenyataan itu.

Hasil siasatan mendapati nahas terbabit “bukan berpunca daripada perbuatan khianat, letupan atau kegagalan enjin,” tambahnya.

Myanmar dilanda musim hujan namun tiada laporan mengatakan terdapat ribut di kawasan kejadian ketika nahas.

Gerry Soejatman, seorang pakar penerbangan bebas yang berpusat di Jakarta berkata, kejadian ribut di atmosfera yang tidak dapat dilihat pada daratan boleh menyebabkan terhasilnya ais pada sayap pesawat atau enjin.

Namun tambahnya, juruterbang biasanya akan memantau cuaca bagi mengelakkan ribut berkenaan.

“Sekiranya ia awan ribut, ini menimbulkan persoalan mengapa mereka terbang ke arahnya?” katanya kepada AFP.

Data kotak hitam dianalisis pasukan penyiasat dari Myanmar dan Australia, yang mengetuai pencarian serpihan pesawat Malaysia Airlines yang hilang MH370.

Lokasi terakhir pesawat berkenaan yang hilang pada Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur bersama 239 penumpang hanya beberapa ratus batu ke utara daripada kawasan pesawat tentera Myanmar terhempas.

Nahas terbabit merupakan yang terbaru dalam kemalangan udara membabitkan tentera di negara itu.

Pada Februari tahun lalu, lima kru maut selepas pesawat tentera terbakar ketika berlepas dari Naypyidaw.

Tiga lagi anggota tentera turut terbunuh pada Jun selepas helikopter Mi-2 terhempas di kawasan bukit dan meletup di selatan Bago. – AFP, 19 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen