SEKURANG-KURANGNYA 13 terbunuh pada Jumaat dan tujuh lagi cedera selepas sebuah van awam melanggar belakang sebuah bas di sebuah lebuh raya yang sibuk di pinggir Bandar Mexico, kata pegawai tempatan.
Kejadian itu berlaku berhampiran bandar Ecatepec di lebuh raya yang menghubungkan Bandar Mexico dan Pachuca.
Lebuh raya itu antara yang tersibuk di negara itu. Ramai rakyat Mexico yang tinggal di pinggir bandar mengunakannya setiap hari untuk pergi ke pusat bandar. Ia juga digunakan trak komersial.
10 lelaki dan tiga wanita terbunuh, kata jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Mexico Edgar Vargas kepada AFP. Dua belas terbunuh serta merta, seorang wanita lagi meninggal di hospital.
Gambar menunjukkan bahagian depan van remuk teruk dalam pelanggaran itu.
“Kami dengar orang menjerit. Saya rasa mereka cedera, memanggil orang ramai untuk keluarkan mereka. Tetapi kami tak boleh buat apa-apa sebab pagar lebuh raya yang tinggi,” kata saksi yang bekerja berhampiran.
Katanya, beliau tiba di tempat kerja sekitar jam 7:00 pagi dan melihat ramai anggota polis sampai manakala mayat mangsa dibaringkan di tanah.
Van yang terlibat adalah jenis biasa digunakan untuk mengangkut mereka yang tinggal di pinggir bandar ke stesyen bas atau keretapi bawah tanah yang akan membawa mereka ke pusat bandar. – AFP, 21 Julai, 2018.
Komen