EMPAT pengawal peribadi Presiden Filipina Rodrigo Duterte cedera akibat ditembak pada Rabu disyaki perbuatan pemberontak komunis sehari selepas kumpulan itu memberi amaran untuk menyerang, kata pihak berkuasa.
Duterte bagaimanapun tiada dalam konvoi ketika serangan terbabit apabila dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah kenderaan Kumpulan Keselamatan Presiden sepanjang lebuhraya di selatan kepulauan Mindanao, tambahnya.
Kenyataan pihak tentera pula menyalahkan kumpulan New People Army – kumpulan bersenjata sayap Parti Komunis Filipina yang memiliki 4,000 ahli – atas serangan itu.
“Ia adalah sebahagian daripada seruan mereka kepada kumpulan bersenjata di seluruh negara untuk menentang undang-undang tentera dengan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan kerajaan,” kata pegawai kanan tentera Mindanao, Bridegedier Jeneral Gilberto Gapay kepada stesen radio DZBB di Manila.
Serangan itu berlaku sehari selepas Duterte meminta kebenaran Kongres untuk meletakkan Mindanao di bawah undang-undang tentera sehingga Disember bagi menentang kumpulan militan di bandar Marawi.
Undang-undang tentera dijalankan selama 60 hari di kepulauan itu selepas militan menyerang Marawi pada 23 Mei lalu, namun Duterte mengakui perlukan lebih masa untuk mengalahkan kumpulan terbabit.
Parti komunis melancaran pemberontakan paling lama di Asia menyeru kumpulan sayap bersenjata untuk lancarkan serangan sebagai tindak balas terhadap rancangan Duterte melanjutkan undang-undang tentera itu.
Tentera yang cedera itu dalam perjalanan ke bandar Mindanao lain apabila memasuki kawasan pemeriksaan yang dikawal anggota gerila, kata komander Louie Dagoy kepada wartawan.
“Pasukan kami membalas tembakan dan meminta bantuan daripada pengkalan tentera berhampiran,” kata jurucakap tentera daerah, Major Ezra Balagtey kepada AFP.
Pemberontakan komunis yang bermula sejak 1968 itu mengorbankan kira-kira 30,000 nyawa, menurut pasukan tentera.
Pemberontak sering mengadakan rundingan damai dengan kerajaan sejak Duterte, yang merupakan sosialis, dipilih tahun lalu.
Mereka turut merancang satu rundingan formal pada bulan depan.
Pada Selasa, Duterte mengecam tindakan kumpulan pemberontak kerana didakwa membunuh anggota tentera.
Kumpulan pemberontak katanya menyasarkan anggota tentera yang tidak membawa senjata ketika di luar waktu bertugas, Duterte turut mengumumkan dia membekalkan pistol kepada anggota tentera untuk mempertahankan diri.
“Majoriti rakyat menolak komunisme kerana kekejaman mereka, dan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada negara. Ia hampir mufliz,” kata Duterte. – AFP, 19 Julai, 2017.
Komen