SERAMAI 26 orang awam terbunuh dalam serangan udara pada Jumaat di kawasan dikawal oleh kumpulan militan Islamic State (IS) di wilayah Daraa di selatan Syria, kata pemerhati perang.
Rami Abdel Rahman, ketua Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, berkata antara yang terbunuh termasuklah 11 kanak-kanak dalam serangan sepanjang hari oleh rejim dan pesawat sekutunya Rusia pada kubu IS terakhir di Daraa.
Badan pemantau mengatakan ratusan serangan udara dan bom melanda beberapa bandar yang dikawal oleh cawangan IS tempatan yang dikenali sebagai Jaish Khaled bin Walid.
Pengeboman itu menyebabkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur, dan “kejiranan seluruhnya dimusnahkan”, kata pemantau.
Rejim Syria dan sekutunya kini sedang berusaha untuk menguasai sepenuhnya Daraa di sempadan Jordan dan tanah tinggi Golan yang diduduki Israel setelah memaksa kumpulan pemberontak untuk menuntut perdamaian berikutan serangan berdarah.
Konflik Syria membunuh lebih 350,000 orang sejak ia bermula pada 2011 dengan tindakan keras kerajaan yang kejam terhadap penunjuk perasaan. – AFP, 21 Julai, 2018.
Komen