Bot pelancong terbalik di AS, 13 dilapor maut


Sebuah bot dua alam dikenali sebagai bot itik terbalik selepas ditiup angin kencang sebelum tenggelam di Missouri, Amerika Syarikat. 13 maut, tiga masih hilang, tujuh dirawat di hospital dengan dua kritikal. – Gambar AFP, 20 Julai, 2018.

SEBUAH bot pelancong terbalik dan tenggelam dalam ribut di sebuah tasik di Missouri, AS membunuh sekurang-kurangnya 13 orang ketika pihak berkuasa masih lagi mencari tiga mangsa yang masih hilang.

Sherif Daerah Stone Doug Rader berkata 31 orang menaiki bot dua alam itu yang dikenali sebagai “bot itik” yang boleh terapung di air dan bergerak di darat.

Penyelam sedang meneroka dasar tasik untuk mencari mangsa terselamat dan mayat susulan tragedi yang berlaku di Tasik Table Rock itu, kata pegawai. Beberapa mangsa yang terbunuh adalah kanak-kanak.

Rader memberitahu wartawan yang beberapa orang penumpang berjaya berenang ke tepian tasik selepas bot itu terbalik dan mula tenggelam.

Tujuh orang lagi sedang dirawat di hospital, dua daripada mereka kritikal, kata pegawai kesihatan.

Rader berkata kejadian berlaku kerana angina kencang dan bot itu sedang menuju ke darat sebelum terbalik.

Dua bot itik berada di atas air ketika kejadian, menurut Rader, salah sebuahnya selamat.

Tasik buatan manusia tempat bot itu tenggelam adalah tempat tumpuan pelancong terletak di selatan Missouri berhampiran bandar Branson, bersempadan dengan Arkansas.

Steve Lindenberg, ahli kaji cuaca di Springfield, Missouri memberitahu AFP yang ribut kencang melalui kawasan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan pokok tumbang.

Ahli kaji cuaca merekodkan angin kencang selaju 119 kilometer per jam dan mengeluarkan amaran di kawasan itu sekitar jam 6:30 petang.

Kejadian di Missouri itu adalah salah satu kejadian disebabkan ribut yang melanda kawasan itu sejak Khamis lalu, kata ahli kaji cuaca.

Taufan melanda Iowa, utara Missouri menyebabkan kecederaan dan kerosakan bangunan walaupun tiada kematian dilaporkan. – AFP, 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen