SEBATANG sungai tercemar dengan bau tengik berhampiran perkampungan atlit Sukan Asia di Jakarta ditutup dengan jaring hitam kerana dibimbangi ia akan mencemarkan pemandangan sempena temasya sukan benua itu.
Pegawai kerajaan di ibu kota Indonesia itu bertungkus lumus mempersiapkan tempat acara, menyiapkan kerja-kerja pembinaan, meluaskan jalan raya dan mengatasi masalah kesesakan trafik ibu kota sebelum temasya itu berlangsung, dijadualkan berlaku pada 18 Ogos sehingga 2 September depan.
Tetapi salah sebuah laluan air utama yang melintasi Jakarta yang mengalir di belakang penempatan atlit nampaknya sukar untuk dibaiki, membuatkan pihak berkuasa memutuskan untuk menyembunyikannya.
Sungai Sentiong sepanjang 730 meter- yang digelar penduduk tempatan “Sungai Hitam” kerana kekotorannya- akan ‘disembunyikan’, kata pegawai agensi sumber air Jakarta, Nelson Simanjuntak kepada AFP.
“Peranannya adalah untuk mencantikkan (sungai) supaya air hitam tidak dapat dilihat atlit antarabangsa,” kata seorang lagi pegawai, Supriyono kepada akhbar Kompas.
Pihak berkuasa berharap jaring hitam itu juga akan mengurangkan bau tengik sungai yang diburukkan lagi dengan cahaya panas.
Teknologi sisa canggih “buih nano” yang membantu memecahkan bahan organik dan meneutralkan bahan kimia juga digunakan.
Di kawasan sekitar juga, bendera berwarna warni dikibarkan, pekerja pula mengecat tebing sungai dengan warna terang untuk menceriakannya.
Penduduk kawasan itu juga menyedari perubahan yang berlaku.
“Sebelum ini, sungai sangat kotor dan berbau…saya harap semua ini dapat dikekalkan selepas Sukan Asia,” kata penduduk Busri Berlani kepada AFP.
Jakarta wujud di atas kawasan delta sungai dan mempunyai jaringan sungai yang banyak digunakan untuk pembuangan sisa rumah.
Sungai yang tersekat adalah punca utama banjir kilat yang berlaku saban tahun ketika musim hujan.
Jakarta dan Palembang di Sumatera akan menerima hampir 11,000 atlit dan 5,000 pegawai dari 45 buah negara sempena Sukan Asia, temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Olimpik. – AFP, 20 Julai, 2018.
Komen