Singapura digodam, rekod kesihatan PM dicuri


Serangan siber terbesar berlaku di Singapura menyebabkan rekod kesihatan 1.5 juta rakyatnya dicuri, termasuklah rekod kesihatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang merupakan sasaran utama. – Gambar EPA, 20 Julai, 2018.

PENGGODAM mencuri rekod kesihatan milik 1.5 juta rakyat Singapura, termasuk rekod Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang merupakan sasaran utama dalam penggodaman data terbesar berlaku di negara itu, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Kementerian Maklumat dan Kesihatan Singapura berkata pangkalan data kerajaan digodam dalam serangan “disengajakan, bersasar dan terancang”, menyifatkan serangan itu sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini”.

“Penyerang secara khusus dan berulang kali menyasarkan rekod peribadi kesihatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong,” kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada satu sidang media.

Pihak berkuasa bagaimanapun enggan mengulas identiti pengodam itu kerana faktor keselamatan.

Singapura yang kaya mempunyai jaringan dalam talian bersepadu bagi mendigitalkan perkhidmatan dan pangkalan data asas kerajaan.

Walaupun negara republik itu mempunyai sistem pertahanan ketenteraan antara termaju di rantau ini, pihak berkuasa sudah lama memberi amaran tentang penggodaman yang banyak dilakukan pelbagai pihak termasuklah pelajar sekolah sehinggalah kepada penjenayah siber disokong negara tertentu.

Pada 2017, penggodam menggodam pangkalan data Kementerian Pertahanan untuk mencuri maklumat hampir 850 anggota dan kakitangan pertahanan. – AFP, 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen