KANAK-KANAK pertama di dunia yang menjalani pembedahan pemindahan sepasang tangan kini mampu menulis, menyuap makanan dan memakai pakaian sendiri, kata doktor semalam, menganggap operasi itu berjaya selepas 18 bulan.
Laporan dalam The Lancet Child & Adolescent Health memberikan kemas kini perubatan rasmi pertama mengenai Zion Harvey, 10, yang menjalani pembedahan menggantikan kedua-dua tangannya pada Julai 2015.
“Selepas 18 bulan menjalani pembedahan, kanak-kanak itu lebih berdikari dan boleh melakukan aktiviti harian.
“Beliau menunjukkan kemajuan apabila menjalani terapi harian untuk meningkatkan fungsi tangannya, dan sokongan psikososial untuk membantu menangani tuntutan berterusan akibat pembedahan itu,” kata Sandra Amaral, doktor di Hospital Kanak-Kanak Philadelphia.
Tangan dan kaki Harvey terpaksa dipotong ketika usianya dua tahun, berikutan jangkitan sepsis. Dia turut menjalani pemindahan buah pinggang.
Harvey terpaksa mengambil ubat untuk menekan sebarang reaksi imun kepada buah pinggangnya, yang menjadi faktor utama pilihan menjalani pembedahan pemindahan lebih 10 jam itu.
Ubat sistem imun perlu diambil berterusan untuk mengelakkan tubuh pesakit menolak pemindahan itu. Ia berisiko menyebabkan diabetes, barah dan jangkitan. – AFP, 19 Julai, 2017.
Komen