SEPASANG suami isteri di Amerika Syarikat berjaya dalam perjuangan bagi memperolehi kebenaran untuk menghias bahagian luar rumah mereka dengan mural “The Starry Night” milik Vincent van Gogh.
Majlis bandaraya Mount Dora di Florida pada Selasa mencapai persetujuan dengan Nancy Nemhauser dan pasangannya Lubomir Jastrzebski, yang sebelum ini didenda AS$10,000, kerana mural rumah mereka melanggar kod peraturan papan tanda, serta boleh menyebabkan gangguan kepada para pemandu.
Menurut agensi berita Xinhua, pada Februari pasangan itu mengemukakan saman ke atas majlis bandaraya kerana melanggar hak untuk berkarya, dan menyatakan hasil seni tersebut merupakan kegemaran anak mereka penghidap autisme.
Pasangan tersebut turut menerima AS$15,000 untuk membayar yuran guaman, serta permohonan maaf dari Datuk Bandar Mount Dora, Nick Girone.
Girone gembira kes yang turut mendapat perhatian ramai pelukis itu dapat diselesaikan secara baik.
“The Starry Night” adalah satu karya paling terkenal di van Gogh. Lukisan asal 1889, kini disimpan di Muzium Seni Moden di New York. – Bernama, 20 Julai, 2018.
Komen