Lokman Adam calon BN PRK Sg Kandis


Mohd Farhan Darwis

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis yang dijadualkan berlangsung 4 Ogos ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Julai, 2018.

BARISAN Nasional (BN) mempertaruhkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, di Pejabat Umno Bahagian Kota Raja, Shah Alam, hari ini.

Lokman, penyokong tegar Najib Razak dan pengkritik Pakatan Harapan yang lantang sebelum ini adalah pengarah komunikasi strategik Kementerian Kewangan ketika BN berkuasa. Selepas perubahan kerajaan, Lokman menubuhkan kumpulan Pemantau Malaysia Baru. 

“Setelah dipertimbangkan dengan teliti dan persetujuan Bahagian Kota Raja, presiden setuju menandatangani watikah calon mewakili BN yang ambil bahagian dalam PRK Sungai Kandis. 

“Calon BN yang akan mewakili parti dalam PRK Sungai Kandis ialah Lokman Noor Adam,” kata Mohamad.

PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu akibat penyakit kanser limfoma.

PRK ini merupakan kali pertama BN bertanding sebagai gabungan pembangkang selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Shuhaimi dari PKR memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada Umno Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

Semalam, PKR mengumumkan Zawawi Ahmad Mughni sebagai calonnya untuk mempertahankan kerusi itu. PAS pula memutuskan untuk tidak meletakkan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Mohamad dalam sidang media yang sama berkata, pembekuan akaun Umno juga tidak menjadi halangan untuk mereka berkempen dalam PRK tersebut.

“Kita kempen pakai mulut bukan duit, tak susah (kempen), kita gerak kerja dari rumah ke rumah untuk memperkenalkan calon dan memberi penerangan,” katanya.

Beliau berkata, PAS juga memberi kerjasama apabila tidak meletakkan calon mereka kerana pertandingan tiga penjuru tidak akan memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak.

“Dengan PAS kita ada perundingan, Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) ada berjumpa Presiden PAS (Abdul Hadi Awang), selain topik ketua pembangkang kita ada bincangkan mengenai PRK.

“Kedua-dua pihak sedar tiada gunanya pertandingan tiga penjuru…kalau jentera PAS bantu, alhamdulillah, kalau mereka tidak bertanding rasanya adalah (bantuan),” katanya lagi. – 20 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen