Penyusunan semula agensi: Kerajaan harus teliti


PERUBAHAN kerajaan Malaysia menyaksikan banyak usaha untuk menambah baik dasar dan institusi yang ada bagi membuktikan bahawa parti pemerintah yang mengambil alih mampu mentadbir dengan lebih baik daripada parti sebelumnya.

Apatah lagi kerajaan baru sedari awal lagi mengumumkan bahawa ia mewarisi tanggungan hutang yang mencecah RM1 trilion, sudah pasti langkah-langkah berjimat-cermat (austerity drive) perlu dipertimbang dan dilaksanakan dengan segera.

Tatkala rakyat sudah semestinya akan bersabar dan memberi peluang kepada kepemimpinan baru untuk membuktikan kebolehan (mengambil kira bahawa selain daripada beberapa nama seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin, sebahagian besar daripada anggota pentadbiran yang baru ini masih cetek pengalaman dalam mentadbir sebuah kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri), maka diharapkan juga agar mereka yang baru memegang kuasa tidak gopoh dan gelojoh dalam cubaan memperoleh sokongan dan kekaguman rakyat.

Satu isu yang ingin penulis sentuh ialah berhubung beberapa pengumuman oleh menteri (termasuk ketua menteri) tertentu untuk menimbangkan penyusunan semula beberapa agensi kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (SBK) di atas nama langkah penjimatan.

Penyusunan semula bererti menggabungkan sesetengah agensi/SBK yang dianggap bertindan fungsi (redundant), mengecilkan atau menutup sesetengah agensi/SBK yang dianggap tidak perlu atau membazir, mahupun mengoptimumkan ‘sinergi’ (apapun makna di sebaliknya) di antara agensi/SBK yang dikenal pasti.

Penulis berharap kepemimpinan kerajaan benar-benar berhati-hati dengan cadangan yang seumpama ini kerana menurut pengalaman dan pemerhatian penulis, terutamanya di sektor korporat, sudah terlalu kerap inisiatif penggabungan (mergers) gagal membawa hasil yang diharapkan iaitu meraih manfaat lebih besar untuk kepentingan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders).

Sebagai contoh, firma audit antarabangsa KPMG yang menerbitkan beberapa laporan kajian keberhasilan inisiatif penggabungan korporat mendapati bahawa sebahagian besar kes telah gagal memberi manfaat yang dijanjikan kepada pemegang saham.

Dalam kajian bertajuk “Unlocking shareholder value: the keys to success (1999)” yang mengambil sampel daripada 700 penggabungan termahal peringkat antarabangsa antara 1996 hingga 1998, dilaporkan bahawa sehingga 83% daripada syarikat terlibat telah merosot nilainya selepas aktiviti penggabungan dan pengambil-alihan.

Kajian lain oleh firma perunding antarabangsa L.E.K. Consulting pada 2013 yang menganalisa prestasi lebih 2,500 urusniaga penggabungan dan pengambilalihan antara 1993 hingga 2010 juga menunjukkan 60% daripadanya menyebabkan kemelesetan nilai terhadap syarikat.

Meskipun masih terdapat contoh-contoh penggabungan yang berjaya, penulis dengan rendah hati menekankan di sini bahawa ia bolehlah dianggap sebagai terasing dan bukan mudah dicapai.

Justeru, kerajaan diseru agar tidak gopoh dan semberono dalam mengejar sesuatu yang tidak pasti sementelahan pula dalam keadaan iklim ekonomi yang kurang memberangsangkan dan sentimen rakyat yang semakin peka dengan tindak-tanduk pemimpin.

Seelok-eloknya proses perundingan yang telus dan terbuka bersama-sama dengan agensi/SBK dilakukan dengan cermat dan teliti supaya gambaran lengkap diperolehi sebelum apa-apa keputusan dibuat atau diumumkan, barulah mudah mendapat dokongan (buy-in) daripada semua pihak.

Tiada salahnya jika kerajaan turut mengambil-kira penanda aras (benchmark) daripada usaha menyusun semula agensi sektor awam di negara-negara lain yang lebih maju kerana usaha seumpama ini bukan khusus di Malaysia sahaja.

Misalnya, pentadbiran Barack Obama dan kemudian Donald Trump di Amerika Syarikat (AS), kedua-duanya menjadikan penyusunan semula agensi kerajaan dan sumber manusia di sektor awam sebagai sebahagian janji pilihanraya – namun bezanya kita dan mereka ialah di AS pejabat presiden mereka mengemukakan pelan komprehensif untuk mendapatkan maklum balas rakyat dalam usaha menjayakan reformasi tersebut secara bipartisan (melibatkan Kongres yang didominasi oleh Demokrat dan pejabat presiden yang dikuasai oleh Republikan).

Sebaliknya di Malaysia, menteri atau ketua menteri membuat kenyataan akhbar semata-mata tentang cadangan menyusun semula agensi/SBK tanpa dokumen jelas yang boleh diakses, dianalisa dan diberi maklum balas oleh pemegang kepentingan. Sekretariat Komanwel juga ada mengemukakan contoh rangka-kerja reformasi sektor awam.

Alangkah moleknya jika kerajaan Malaysia juga boleh setelus dan semantap ini dalam memimpin penambahbaikan negara dengan mengemukakan pelan tindakan yang lengkap disokong oleh data; analisa kos dan faedah; gerak-kerja jangka pendek; sederhana dan panjang; serta ruang untuk rakyat memberi maklum-balas dan cadangan secara langsung.

Zaman ini rasanya sudah semakin tidak sesuai untuk setiap kementerian atau menteri melakukan reformasi strategik secara bersendirian (in silos) sedangkan matlamat asal penyusunan semula tadi kononnya adalah untuk menjimatkan kos atau sumber dan mengoptimumkan pulangan kepada rakyat. Jadi sudah tentulah perancangan yang mengambil kira semua aspek adalah lebih baik berbanding tindakan secara sementara (ad hoc) atau berdikit (piecemeal).

Pentaksub inisiatif penggabungan dan mereka yang berprasangka terhadap struktur agensi/SBK sedia ada sudah pasti akan menghujahkan bahawa penyusunan semula sama ada secara penggabungan, pengecilan mahupun penutupan entiti akan serta-merta menurunkan kos operasi lantas mengoptimumkan pendapatan dengan semudah misalnya merangkumkan sistem teknologi maklumat, menyerapkan beberapa jabatan, menggembleng saiz agensi/SBK untuk menekan harga barangan dan perkhidmatan yang dibekalkan – namun hakikatnya itu semua adalah TEORI. 

Secara praktikalnya dan berdasarkan pelbagai kajian terperinci dan bebas, langkah-langkah bagi memastikan sesuatu usaha penyusunan semula itu akan berjaya tidaklah semudah yang disangka.

Sekadar contoh, apabila menteri berkenaan mengumumkan tentang pertimbangan untuk menggabungkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan Agensi Berita Nasional (Bernama), serta-merta terlintas di kepala penulis bahawa RTM adalah agensi yang tua dan besar dengan saiz tenaga kerja agak ramai dan aset yang bertebaran di seluruh negara sedangkan Bernama diketahui umum adalah agensi yang jauh lebih kecil daripada segi operasi mahupun tenaga kerja – apakah benar-benar ada manfaat untuk menggabungkan RTM dengan Bernama ataupun lebih baik kedua-duanya diberi kebebasan untuk mencari jalan masing-masing dalam memperbaiki model perniagaan dan perkhidmatan yang dijalankan?

Ini kerana dalam amalan penggabungan di sektor korporat, kita akan sentiasa teliti dalam memastikan ‘aset sihat’ tidak secara semberono digabungkan dengan ‘aset sakit’ – ditakuti aset yang sedia elok akan ‘terjangkit’ pula dengan penyakit daripada aset yang tidak berapa elok. Akibatnya nanti dibimbangi yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Sebagai contoh lain, ada kedengaran ura-ura bahawa agensi/SBK yang ditubuhkan untuk menangani masalah perumahan mampu milik termasuk PPA1M, PR1MA dan SPNB ingin digabungkan kononnya untuk menjadi satu entiti besar (single super agency atau omni-corporation) yang dapat mengatasi keseluruhan masalah ini secara ‘komprehensif’.

Pada pandangan penulis, masalah perumahan mampu milik untuk rakyat adalah masalah yang terlalu besar dan kompleks untuk dibebankan atau ditanggung oleh single super agency. Dibimbangi kelak akan tersemai sindrom ‘terlalu besar untuk gagal’, kaduk naik junjung, dan pelbagai salah laku atau kebobrokan yang disorokkan di celah sawang organisasi apabila ia terlalu besar untuk dipantau.

Hakikatnya, PPA1M yang diberi mandat membina rumah mampu milik untuk penjawat awam sahaja sudah memikul harapan lebih 1 juta penjawat awam; tatkala kriteria kemampumilikan (affordability) penjawat awam sendiri cukup rencam dan tidak boleh disamakan dengan golongan pekerja swasta (yakni bukan penjawat awam).

Di mana pula peranan kerajaan negeri, yang sudah semestinya perlu menangani masalah rumah mampu milik berdasarkan demografi di negeri masing-masing? Bukankah dalam hal ini sepatutnya perbadanan kemajuan ekonomi negeri (PKEN) masing-masing harus terus dibiarkan berperanan secara langsung dan berfokus?

Jika kita kembali kepada prinsip asas tadbir urus yang baik, kita akan menghayati bahawa sepatutnya setiap isu dan entiti diberi perhatian sewajarnya tanpa menganggap kesemuanya sama sahaja - no one size fits all. – 20 Julai, 2018.

* Madzlan Mohamad Hussain adalah seorang pengamal undang-undang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen